MANILA, 23 SEPTEMBER – Kehadiran kapal agensi kerajaan China di beberapa kawasan pertikaian di Laut China Selatan dilaporkan berkurangan bulan ini, susulan cuaca buruk dan kesan taufan Nando.
Jurucakap Tentera Laut Filipina (PN) bagi isu Laut Filipina Barat, Laksamana Muda Roy Vincent Trinidad, berkata hasil pemantauan setakat 22 September mendapati hanya sembilan kapal China Coast Guard (CCG) berada di kawasan Bajo de Masinloc, sebuah kapal perang Tentera Laut Pembebasan Rakyat (PLAN) dikesan di Pulau Pag-asa, manakala dua lagi kapal CCG dikesan di Terumbu Ayungin.
Beliau menjelaskan angka itu lebih rendah berbanding purata bulanan yang biasanya merekodkan antara 14 hingga 20 buah kapal China di kawasan berkenaan.
“Jika dibandingkan dengan purata pemantauan bulanan, jumlahnya berkurangan di Bajo de Masinloc dan Terumbu Ayungin. Perubahan ini disebabkan faktor cuaca, khususnya taufan Nando dan ribut sebelumnya,” katanya dalam satu laporan media Filipina.
Sepanjang September, Tentera Laut Filipina melaksanakan tujuh rondaan di Bajo de Masinloc serta satu rondaan tambahan di gugusan kepulauan di utara Luzon. Laporan penuh liputan pemantauan, termasuk penerbangan tinjauan udara dan rondaan laut, dijangka akan dikemukakan pada akhir bulan ini.
Awal bulan ini, kerajaan China mengumumkan rancangan untuk mewujudkan kawasan simpanan alam sekitar di Bajo de Masinloc, dikenali sebagai Huangyan Dao National Nature Reserve. Tindakan itu dibantah keras oleh Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina yang menegaskan hanya Manila berhak mewartakan kawasan perlindungan marin di wilayah berkenaan. – airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #Global #CCG #LautChinaSelatan #China #Filipina
