KUALA LUMPUR, 19 JANUARI – Kementerian Pertahanan hari ini mengesahkan telah membuat laporan polis berhubung insiden kebocoran maklumat sulit melibatkan senarai nama pegawai kanan yang bakal mengisi jawatan-jawatan strategik dan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mendedahkan bahawa tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyebarkan senarai berkenaan sebelum mendapat perkenan rasmi Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja melanggar protokol, malah mendedahkan negara kepada risiko keselamatan yang serius.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Mohamed Khaled menegaskan bahawa kementerian memandang berat isu penularan maklumat dalaman tersebut yang dianggap mendahului proses rasmi serta mencabar kredibiliti institusi pertahanan negara.
Laporan Polis dan Tindakan Undang-Undang
Khaled mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengesan dalang di sebalik kebocoran ini.
“Jadi, pihak kementerian, kita telah lakukan aduan kepada pihak polis dan kita minta supaya siasatan dibuat supaya perkara sebegini tidak berulang,” katanya dalam satu sidang pada sempena Majlis Perasmian SASaR Residensi Sateria, Sungai Besi, hari ini.
Semalam, Kementerian Pertahanan melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Strategik menegaskan kesediaan untuk mengambil tindakan undang-undang yang tegas. Pihak yang terlibat boleh didakwa di bawah pelbagai akta termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Angkatan Tentera 1972, serta Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Kementerian Pertahanan turut memberi peringatan bahawa penyebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh mengganggu gugat rantaian pemerintahan dan menjejaskan moral pegawai yang terlibat.
”Spekulasi liar yang timbul akibat maklumat yang tidak tepat ini dikhuatiri mencemarkan imej ATM dan mengelirukan masyarakat,” kata kenyataan itu.
Kenyataan dibuat berikutan senarai pertukaran barisan pemimpin tinggi telah tular di saluran media sosial dan juga aplikasi pesanan.
Mendahului Kuasa Seri Paduka Baginda
Mengulas lanjut mengenai insiden tersebut, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa proses pelantikan bagi jawatan-jawatan tertinggi ATM mempunyai tertib dan prosedur yang ketat di bawah Perlembagaan. Sebarang keputusan perlu melalui saringan dan perbincangan di peringkat Majlis Angkatan Tentera (MAT) sebelum disembahkan untuk perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Beliau meluahkan rasa kesal kerana senarai yang tular itu seolah-olah menggambarkan keputusan muktamad telah dibuat, walhal proses tersebut masih berjalan.
“Kita ada keputusan-keputusan yang telah dibuat, terutamanya dalam soal mengisi kekosongan yang terdapat dalam jawatan-jawatan tertinggi di ATM. Dan kita dapati bahawa sebelum perkara itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, ianya telah pun disebarkan di khalayak ramai,” katanya dengan nada tegas.
Menurut beliau, terdapat salah tanggapan yang besar dalam maklumat yang dibocorkan tersebut. Orang ramai perlu memahami bahawa MAT hanya bertindak sebagai badan pengesyoran, dan lazimnya akan mengemukakan lebih daripada satu nama untuk pertimbangan Seri Paduka Baginda.
“Keputusan-keputusan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia itu perlu dibincang di peringkat Majlis Angkatan Tentera. Tetapi Majlis Angkatan Tentera tanggungjawabnya hanya mengesyorkan nama. Dan setiap jawatan yang kita bincang untuk disyorkan pada yang di-Pertuan Agong, ada dua ataupun tiga nama,” jelas beliau.
Namun, kebocoran yang berlaku memaparkan seolah-olah hanya satu nama sahaja yang dicalonkan, sekaligus memberi persepsi yang salah kepada umum mengenai kuasa meluluskan pelantikan tersebut.
“Ia bukan hanya satu nama (It is not only one name). Tetapi maklumat yang diberi (disebarkan), dia letak satu saja… maknanya macam itulah keputusannya. Yang di-Pertuan Agong mesti perkenan atau meluluskan. Majlis Angkatan Tentera mengesyorkan. Itu dalam perlembagaan,” tambah beliau lagi.
Tindakan menularkan satu nama secara pramatang ini disifatkan sebagai satu bentuk ketidakhormatan kepada institusi Diraja dan hierarki kepimpinan ATM, memandangkan kuasa mutlak perkenan masih belum dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda.
Risiko Keselamatan Operasi dan ‘Mata-Mata’ Musuh
Selain isu pelanggaran protokol, Mohamed Khaled turut menyentuh aspek yang lebih kritikal iaitu keselamatan operasi (Operational Security, OPSEC). Beliau menegaskan bahawa kerahsiaan identiti pegawai yang memegang portfolio strategik adalah benteng pertahanan pertama negara.
Dalam dunia pertahanan, maklumat mengenai “siapa memegang apa” adalah data perisikan yang sangat bernilai bagi pihak musuh. Pendedahan terbuka di media sosial mengenai siapa yang mengetuai unit logistik, artileri, atau komunikasi mendedahkan pegawai tersebut dan unit mereka kepada analisis pihak luar.
“Satu lagi saya nak beritahu, kita tak beritahu kita punya pegawai-pegawai pemerintah di mana-mana kem dalam negara ni. Siapa pegang logistik? Siapa pegang artileri? Kami tidak pernah memberitahu umum (We never tell the public). Sebab kita ada banyak musuh,” ujar Mohamed Khaled.
Beliau menambah bahawa dalam konteks ketenteraan, sifat berhati-hati dan kerahsiaan adalah teras utama. Maklumat mengenai pergerakan pegawai pemerintah, lokasi penugasan, dan rantaian pemerintahan adalah rahsia yang dikawal ketat demi kedaulatan negara.
Memberikan contoh situasi sensitif di sempadan, beliau mempersoalkan kewajaran pihak yang mendedahkan identiti pegawai yang terlibat dalam operasi darat di kawasan berisiko.
“Kita nak tahu siapa jaga… tak boleh sebutlah negara tu… sensitif… katalah siapa jaga, siapa yang terlibat dalam Ground Forces antara Thailand dengan Kemboja? Kita nak tahu, kita nak tahu pergerakan dan sebagainya. Negara kita juga banyak pihak pun nak tahu. Siapa jaga Comms (Komunikasi)? Siapa jaga di Kuantan? Siapa jaga mungkin di Gerik? Siapa pemimpin-pemimpin tenteranya? Itu sebab kita tak bagi nama,” jelas beliau panjang lebar mengenai rasional kerahsiaan tersebut
Menurut beliau lagi, tindakan menyebarkan maklumat ini mungkin dianggap sebagai satu ‘kejayaan’ atau keulungan oleh penyebar, namun mereka sebenarnya sedang membuka ruang kepada pihak musuh untuk memprofilkan kepimpinan tentera negara.
“Tetapi ada orang sebarkan sebagai satu keulungan. Jadi itu sesuatu juga yang harus difahami. Tidak… anda sedang membuka ruang orang mengetahui siapa orang ini, apa jawatan dia, apa pergerakan dia,” tegas beliau memberi amaran keras mengenai implikasi perisikan yang mungkin timbul. -airtimes.my
#Mindef #ATM #Keselamatan #Pertahanan #Airtimes











