SAN DIEGO, 14 JAN – Seorang bekas anggota Tentera Laut Amerika Syarikat (A.S.), Jinchao Wei dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun oleh mahkamah persekutuan selepas didapati bersalah melakukan aktiviti pengintipan dan menjual maklumat sensitif pertahanan negara kepada pegawai perisikan Republik Rakyat China.
Wei yang juga dikenali sebagai Patrick Wei, disabitkan kesalahan oleh juri persekutuan pada Ogos lalu atas enam pertuduhan, termasuk konspirasi melakukan pengintipan serta mengeksport data teknikal pertahanan secara haram. Beliau ditahan pada Ogos 2023 ketika melapor diri untuk bertugas di Pangkalan Tentera Laut San Diego.
Jabatan Kehakiman AS dalam satu kenyataan berkata, Wei yang bertugas sebagai jurumesin di atas kapal serbu amfibi USS Essex didapati telah menyerahkan ribuan dokumen sulit kepada pengendali perisikan China sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Maklumat yang dibocorkan merangkumi sekurang-kurangnya 60 manual teknikal dan operasi yang mengandungi butiran kritikal kapal mengenai sistem kuasa, sistem stereng, kawalan senjata serta sistem pendorong kapal tersebut.
“Selain dokumen teknikal, Wei turut menghantar gambar dan video yang menunjukkan kedudukan kapal-kapal Tentera Laut A.S. serta penerangan mengenai sistem senjata pertahanan USS Essex. Kapal serbu amfibi itu merupakan aset penting dalam keupayaan serangan ekspedisi Tentera Laut A.S. dan berfungsi membawa helikopter serta pesawat berlepas dan mendarat menegak,” katanya pada Selasa.
Sebagai balasan, Wei menerima bayaran berjumlah lebih AS$12,000 sepanjang tempoh kira-kira 18 bulan berurusan dengan pegawai perisikan asing berkenaan.
“Siasatan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut (NCIS) mendapati Wei mula direkrut pada Februari 2022 melalui media sosial. Walaupun menyedari individu yang menghubunginya merupakan pegawai perisikan asing dan tindakannya melanggar undang-undang, beliau tetap meneruskan kerjasama tersebut demi keuntungan peribadi.
“Bagi mengelakkan dikesan, Wei dan pengendalinya menggunakan aplikasi pemesejan sulit, memadam rekod komunikasi serta mengamalkan kaedah dead drops digital. Hubungan mereka turut digambarkan rapat apabila Wei menggelar pegawai perisikan itu sebagai “Abang Long Andy,” ujarnya.
Penolong Peguam Negara Bahagian Keselamatan Negara, John A. Eisenberg, menyifatkan tindakan Wei sebagai satu pengkhianatan serius terhadap sumpah setia yang dilafazkan ketika menyertai perkhidmatan ketenteraan dan menjadi warganegara A.S.
“Wei memilih untuk membahayakan keselamatan negara dan rakan sepasukannya dengan menjual rahsia ketenteraan demi keuntungan peribadi. Hukuman ini menjadi peringatan bahawa pengkhianatan terhadap negara membawa akibat yang berat,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Kaunterintipan FBI, Roman Rozhavsky, menegaskan keputusan mahkamah tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa A.S. dalam melindungi maklumat pertahanan daripada ancaman perisikan asing, khususnya dari China.
Kes ini disiasat secara bersama oleh FBI dan NCIS, dan didakwa di bawah Seksyen 794 Kanun Amerika Syarikat, iaitu peruntukan undang-undang yang dikhaskan bagi kes penyaluran maklumat pertahanan dengan niat memudaratkan keselamatan negara. –airtimes.my
#AirTimes #Perisikan #TenteraLautAS #China















