WASHINGTON, 14 MAC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengarahkan satu operasi pengeboman berskala besar yang menyasarkan kemudahan ketenteraan Iran di Pulau Kharg.
Beliau menyifatkan serangan yang dikendalikan oleh Markas Pemerintahan Pusat AS (US CENTCOM) itu sebagai operasi pengeboman paling kuat pernah direkodkan dalam sejarah Asia Barat.
Operasi ketenteraan terbabit didakwa telah memusnahkan sepenuhnya setiap sasaran ketenteraan di pulau berkenaan yang disifatkan olehnya sebagai nadi utama negara tersebut.
Walau bagaimanapun, Trump menegaskan bahawa beliau secara sengaja memilih untuk tidak memusnahkan infrastruktur minyak di Pulau Kharg buat masa ini.
Namun begitu, beliau mengeluarkan amaran keras dan sedia memusnahkan fasiliti ekonomi itu sekiranya Tehran cuba mengganggu kelancaran serta keselamatan laluan kapal dagang di perairan antarabangsa.
“Senjata kami adalah yang paling berkuasa dan canggih yang pernah disaksikan dunia tetapi atas dasar pertimbangan, saya memilih untuk tidak memusnahkan infrastruktur minyak di pulau tersebut.
“Namun, sekiranya Iran atau mana-mana pihak melakukan apa sahaja untuk mengganggu laluan bebas dan selamat kapal-kapal melalui Selat Hormuz, saya akan mempertimbangkan semula keputusan ini serta-merta,” tegas beliau dalam satu kenyataan di akaun media sosial rasminya.
Menurut Trump, tentera AS pada hari ini telah dibangunkan semula menjadi sebuah pasukan yang paling berbahaya, berkuasa dan efektif di dunia.
Dalam kenyataan yang sama, beliau mendakwa Iran sama sekali tidak mempunyai sebarang keupayaan untuk mempertahankan negara mereka daripada serangan jentera ketenteraan AS. – airtimes.my
