Home Teknologi PertahananK2 Kamikaze UAV: Era baru kecerdasan buatan dalam peperangan autonomi

K2 Kamikaze UAV: Era baru kecerdasan buatan dalam peperangan autonomi

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Di era konflik global yang semakin meruncing, pertempuran tidak lagi bergantung kepada kekuatan fizikal atau pasukan semata-mata. Keupayaan merancang strategi dan memanfaatkan teknologi menjadi faktor penentu dalam menghadapi ancaman musuh. Dalam arus kemodenan ini, sistem persenjataan yang lebih pintar dan pantas mula membentuk landskap peperangan baharu.

Peperangan moden kini memasuki fasa baharu apabila kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) mula memainkan peranan penting di medan tempur. Ini di mana, sistem senjata tidak lagi sekadar dikawal oleh manusia, tetapi dipertingkat dengan keupayaan membuat keputusan secara autonomi. Perkembangan ini sekali gus mengubah cara operasi ketenteraan dilaksanakan.

Dalam konteks ini, dunia teknologi pertahanan menyaksikan satu perkembangan penting di Edirne, Turkiye apabila Baykar, secara rasmi memperkenalkan UAV K2 Kamikaze melalui ujian penerbangan autonomi kawanan (swarm) yang berjaya. Platform ini muncul sebagai simbol transformasi ke arah sistem tempur yang lebih pintar, berdaya tahan dan sukar diganggu.

Kehadiran K2 bukan sekadar penambahan aset biasa. Ia mencerminkan anjakan paradigma dalam strategi pertahanan kos efektif yang menggabungkan kuasa pemusnah tinggi dengan AI tahap maju, keupayaan navigasi tanpa GPS, serta keupayaan operasi kawanan pintar.

Navigasi berasaskan penglihatan AI tanpa GPS

Dalam medan tempur moden, salah satu ancaman utama bagi dron ialah sistem gangguan elektronik seperti jamming dan spoofing. Serangan ini boleh melumpuhkan sistem navigasi satelit global (Global Navigation Satellite System, GNSS) yang menjadi asas kepada banyak platform tanpa pemandu.

K2 direka dengan seni bina navigasi yang mampu beroperasi tanpa bergantung kepada GNSS. Ia menggunakan sistem penglihatan berasaskan AI untuk mengimbas ciri rupa bumi melalui kamera gimbal dan sensor penglihatan malam yang dipasang pada fiuslaj. Data visual ini diproses secara masa nyata untuk menganggarkan kedudukan dan menentukan laluan ke sasaran.

Pendekatan ini membolehkan K2 terus melaksanakan misi walaupun dalam perekitaran tanpa isyarat GNSS, sekali gus meningkatkan daya tahan terhadap peperangan elektronik.

Selain itu, sistem kamera elektro-optik dan inframerah (EO/IR) turut menyokong keupayaan penguncian sasaran secara visual. Keupayaan ini memastikan serangan dapat dilaksanakan dengan ketepatan tinggi, sama ada melalui pengesanan visual atau koordinat yang telah ditetapkan.

Keupayaan operasi kawanan sebagai pengganda kuasa

Dibangunkan oleh Baykar dengan sumbernya sendiri, UAV K2 Kamikaze membuat penampilan sulungnya dengan ujian autonomi kawanan pintar (swarm).

Keunggulan utama K2 terletak pada Autonomi Kawanan Pintar. Dalam ujian terkini di Teluk Saros, lima UAV K2 berjaya melaksanakan penerbangan pelbagai konfigurasi seperti eselon kanan, garisan dan V dalam beberapa sortie berasingan.

Setiap dron menggunakan AI, sensor dan perisian untuk menentukan kedudukan relatif antara satu sama lain tanpa ralat. Mereka mampu mengekalkan formasi secara stabil tanpa ralat serta menyesuaikan pergerakan secara autonomi sepanjang misi.

Selain formasi asas, K2 turut menunjukkan keupayaan melaksanakan konfigurasi seperti “Turan” dan “dinding”. Ini membuktikan tahap koordinasi tinggi yang dicapai melalui integrasi algoritma AI dalam operasi berkumpulan.

Keupayaan ini memberikan kelebihan taktikal yang signifikan. Serangan boleh dilancarkan secara serentak dari pelbagai arah, sekali gus membebankan sistem pertahanan udara musuh. Dalam situasi ini, walaupun sebahagian dron dipintas, baki unit masih berupaya menembusi pertahanan dan mencapai sasaran.

Peralihan ke arah sistem autonomi sepenuhnya

K2 mencerminkan peralihan jelas ke arah sistem tempur autonomi sepenuhnya, khususnya dalam misi berisiko tinggi. Dengan integrasi AI, platform ini mampu membuat keputusan sendiri berasaskan keadaan operasi dan parameter yang telah ditetapkan.

Ini termasuk pemilihan laluan, pengelakan ancaman serta penyesuaian kedudukan dalam kawanan. Kebergantungan kepada kawalan manusia dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan kelajuan tindak balas dalam situasi tempur yang dinamik.

Pendekatan ini selari dengan konsep sistem “boleh dibelanjakan” yang kos efektif. Pada masa sama, Baykar turut merancang pembangunan versi K2 yang boleh kembali ke pangkalan selepas misi. Salah satu falsafah utama projek K2 ialah meminimumkan penggunaan peluru berpandu yang mahal.

Dalam fasa penyelidikan dan pembangunan R&D seterusnya, K2 dijangka mampu melepaskan muatan ke sasaran dan kemudian mendarat semula secara autonomi. Ini mengubah konsep senjata “sekali guna” kepada aset strategik yang boleh digunakan semula, sekali gus memaksimumkan kecekapan operasi.

Namun begitu, peralihan kepada autonomi penuh turut menimbulkan persoalan dari segi etika dan kawalan. Ia memerlukan kerangka perundangan yang jelas bagi memastikan penggunaan teknologi ini selari dengan undang-undang antarabangsa.

Fleksibiliti operasi dan keupayaan mendarat semula

Kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) K2 Kamikaze keluaran pengeluar dron Turki Baykar semasa ujian penerbangan selama beberapa hari di Türkiye.

Berbeza dengan kebanyakan dron kamikaze, K2 direka dengan fleksibiliti operasi yang tinggi. Ia mampu berlepas dan mendarat di landasan pendek, membolehkan ia digunakan dalam pelbagai persekitaran operasi.

Platform ini juga dirancang untuk mempunyai keupayaan kembali ke pangkalan sekiranya sasaran tidak ditemui atau keadaan berubah. Ciri ini memberi nilai tambah yang besar dari segi penjimatan kos dan penggunaan aset secara optimum.

Dari segi spesifikasi, K2 merupakan antara UAV kamikaze terbesar dalam kelasnya. Dengan berat berlepas maksimum sekitar 800 kilogram, ia mampu membawa kepala peledak seberat 200 kilogram. Jarak operasi melebihi 2,000 kilometer, kelajuan lebih 200 kilometer sejam serta ketahanan melebihi 13 jam turut membolehkan K2 ini melaksanakan misi strategik jarak jauh. Ini menjadikannya sesuai untuk operasi mendalam ke wilayah musuh.

Dari sudut strategik, pendekatan kos efektif yang dibawa oleh K2 berpotensi mengubah keseimbangan kuasa. Negara dengan sumber terhad kini boleh memiliki keupayaan serangan berkesan tanpa perlu melabur dalam aset berskala besar yang mahal.

K2 bukan sekadar sebuah dron, tetapi ia adalah manifestasi masa depan peperangan autonomi, di mana kecerdasan buatan kini memainkan peranan utama dalam menentukan kejayaan di medan tempur. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply