KUALA LUMPUR, 26 OGOS – Kerajaan Malaysia menegaskan, memandang serius serta terus mengikuti rapat perkembangan konflik bersenjata di Timur Tengah yang semakin meruncing, khususnya serangan berterusan Israel- Gaza dan beberapa negara serantau.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, situasi itu memberi kesan besar kepada kestabilan serantau dan global, selain menimbulkan implikasi terhadap kepentingan Malaysia dari segi ekonomi, perdagangan, tenaga dan keselamatan rakyat negara ini di rantau berkenaan.
Justeru, beliau berkata, Malaysia mengambil pendekatan diplomatik dengan menggalakkan dialog terbuka serta kekal menjadi jambatan dalam usaha penyumbang kepada keamanan serantau.
“Malaysia kekal peka terhadap perubahan landskap politik semasa serta menyesuaikan pendekatan dasar luar demi melindungi kepentingan negara,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Willie Anak Mongin (GPS- Puncak Borneo) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan, dasar luar Malaysia terhadap Timur Tengah kekal bersifat menyeluruh, berprinsip dan pragmatik dengan mengekalkan hubungan konstruktif bersama semua pihak di rantau itu, berlandaskan prinsip keamanan, keadilan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa.
Dalam pada itu, Malaysia giat memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, ASEAN, BRICS dan G20.
Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan keselamatan, kepentingan ekonomi serta kebajikan rakyat Malaysia di rantau berkenaan sentiasa terpelihara.
“Malaysia juga komited untuk terus menyokong penyelesaian politik dan rundingan damai sebagai kaedah utama menyelesaikan konflik di Timur Tengah,” ujarnya.
Selain itu, katanya, Malaysia turut memperkukuh kerjasama dengan negara berkepentingan seperti Jordan, Mesir, Turkiye dan Qatar dalam mencari penyelesaian konflik di Timur Tengah.
Setakat ini, konflik di Palestin dilaporkan telah meragut lebih 60,000 nyawa dan mencederakan hampir 150,000 yang lain, terutamanya wanita dan kanak-kanak. Ribuan korban turut direkodkan di Lubnan, Iran dan Syria. -airtimes.my
#Airtimes #Konflik #TimurTengah #Malaysia
