Home DiskusiApakah kita sudah berada dalam Perang Dunia Ketiga?

Apakah kita sudah berada dalam Perang Dunia Ketiga?

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

Dari hari ke hari, semakin kerap berita peperangan yang mengorbankan ribuan nyawa disiarkan di media, seolah-olah ia telah menjadi kebiasaan dalam kacamata masyarakat global.

Mayat bergelimpangan di jalanan, bangunan runtuh menyembunyikan keluarga yang tidak sempat melarikan diri dan jeritan mangsa menjadi latar belakang laporan berita yang kini hanya ditonton sambil lalu. Jika sejarah mengajar kita sesuatu, beginilah permulaan Perang Dunia.

Namun persoalannya, berapa banyak lagi konflik perlu meletus sebelum dunia mengaku bahawa kita sedang berada dalam Perang Dunia Ketiga? Mengimbas semula sejarah dua peperangan dunia yang lalu, keduanya bermula dengan percikan ‘api’ kecil yang akhirnya menyambar seluruh dunia.

Perang Dunia Pertama (WWI) tercetus akibat pembunuhan pewaris takhta empayar Austria – Hungary iaitu Archduke Franz Ferdinand, manakala Perang Dunia Kedua (WWII) menyaksikan Jerman Nazi menyerang Poland.

WWI membawa kepada keruntuhan empayar besar dan melahirkan benih ekstremisme. Manakala, WWII pula membawa penderitaan yang tidak tergambar, dari serangan Pearl Harbor hingga tragedi Hiroshima dan Nagasaki, dunia akhirnya mengenal erti kuasa nuklear.

Kini, kita kembali berada di ambang sejarah, cuma dengan wajah yang jauh lebih kompleks dan tidak mudah ditafsir.

Keadaan di Nagasaki, Jepun ketika bom atom dijatuhkan Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua (Foto: Nagasaki Atomic Bomb Museum)

Perang Dingin: Pencetus tirai Perang Proksi

Selepas tamatnya WWII, dunia terjerumus ke dalam era Perang Dingin yang menyaksikan dua blok kuasa besar, melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet saling berentap tanpa peluru secara langsung.

Peperangan berlaku melalui proksi dan wakil di medan tempur seperti Korea, Vietnam dan Afghanistan. Kuasa besar tidak saling berperang secara langsung namun bertembung melalui pihak ketiga di medan tempur serantau.

Sebagai contoh, Perang Korea melibatkan Korea Utara (disokong oleh Kesatuan Soviet dan China) menentang Korea Selatan (disokong oleh AS dan sekutunya). Perang Vietnam (1955-1975) pula melibatkan Vietnam Utara (disokong oleh Kesatuan Soviet dan China) menentang Vietnam Selatan (disokong oleh AS dan sekutunya).

Walaupun konfrontasi itu tidak diumumkan secara rasmi, ia cukup untuk membahagikan dunia kepada dua blok, iaitu Timur dan Barat disamping mencipta ketegangan selama beberapa dekad.

Penolakan keyakinan terhadap kuasa unipolar

Apabila Kesatuan Soviet runtuh, Amerika muncul sebagai satu-satunya kuasa unipolar. Dunia berkembang berpaksikan kuasa tunggal, dengan AS mendominasi naratif global dari Timur Tengah hingga ke Asia Tenggara.

Namun, keadaan itu tidak kekal lama. Kebangkitan semula Rusia yang lebih agresif serta China yang semakin strategik membentuk semula landskap kuasa global.

Ketegangan baru mula timbul di serata dunia, dengan peperangan dan konflik yang berlaku secara serentak bukan sebagai kebetulan, sebaliknya sebagai refleksi kepada kembalinya struktur dunia kepada kuasa multipolar.

Konflik yang kelihatan terpisah satu sama lain sebenarnya saling berkait dalam satu jalinan geopolitik yang lebih besar.

Keadaan Gaza yang hancur dibedil Israel sejak 7 Oktober 2023 (Foto: Gaza Press)

Apakah ini bukan perang dunia ketiga?

Di Eropah, peperangan Rusia-Ukraine bukan sekadar tentang sempadan atau wilayah Donbas. Ia adalah pertarungan pengaruh antara NATO dan Moscow. Masalah antara Rusia dan Ukraine bermula secara rasmi pada Februari 2014 dengan pengambilalihan wilayah Crimea dan perang di Donbas melibatkan tentera Ukraine dan puak pemisah yang menyokong Rusia.

Konflik berkenaan berlanjutan sehinggalah menjadi pertembungan penuh sejak 2022, dengan Barat memberikan sokongan senjata, kewangan dan risikan kepada Ukraine. Rusia pula melihat ini sebagai konfrontasi langsung yang disamarkan oleh blok Barat.

Di Timur Tengah pula serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 telah mencetuskan tindak balas Israel yang melangkaui Gaza. Serangan ke atas Lubnan dan Syria serta ancaman balas daripada Iran menandakan konflik ini tidak lagi terhad kepada isu Palestin semata-mata.

Ia telah mengheret kumpulan seperti Hizbullah dan Houthi, dan kini membuka laluan kepada pertembungan lebih besar antara dua musuh tradisi iaitu Iran dan Israel.

Asia Pasifik turut memperlihatkan ketegangan yang membimbangkan. Tuntutan China terhadap Taiwan dan Laut China Selatan mencetuskan reaksi keras dari AS dan sekutunya.

Perairan yang dahulunya sibuk dengan perdagangan kini menjadi medan rundingan ketenteraan. Selain negara serantau, Filipina, dengan sokongan terbuka dari AS tidak berlengah mempercepat perolehan ketenteraan.

Dialog Shangri-La baru-baru ini menggambarkan Asia Tenggara sedang bersiap sedia, bukan untuk kemungkinan, tetapi untuk ketidaktentuan yang semakin nyata.

Walaupun tidak disebut secara rasmi, konflik ini membentuk satu kitaran pertembungan blok yang semakin terbuka.

Salah satu bangunan di Tel Aviv yang menjadi sasaran serangan balas Iran (Foto: X Islamic Repubblic of Iran)

Venezuela dan Guyana di Amerika Selatan juga menunjukkan tanda-tanda awal konflik bersenjata atas pertikaian wilayah, memperlihatkan bahawa tekanan geopolitik telah merebak ke hemisfera selatan.

Lebih membimbangkan, badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semakin kelihatan tidak relevan. Kuasa veto menyekat tindakan kolektif, manakala undang-undang antarabangsa dilanggar tanpa rasa gentar.

Semua ini berlaku serentak. Dan inilah yang menjadikan keadaan hari ini sukar diterjemahkan secara langsung. Realitinya, peperangan ini telah bermula. Ia tidak meletus dalam satu hari, tidak diumumkan dalam satu sidang media, namun merebak perlahan-lahan dan menyusup ke dalam setiap aspek kehidupan global.

Kita berada dalam konflik berskala dunia, cuma dalam bentuk dan corak yang tidak dikenali oleh generasi sebelumnya. Ketika WWI dan WWII kedua mempunyai garis masa yang jelas, deklarasi rasmi, pembentukan pakatan ketenteraan terbuka dan diumumkan.

Perang Dunia Ketiga (WWIII) sedang berperang secara proksi dan hibrid. Ini termasuklah menggunakan askar upahan, serangan siber, sabotaj ekonomi, perang propaganda dan kempen maklumat.

Soalnya, mengapa tiada siapa mahu mengakuinya? Jawapannya mungkin kerana kerana mereka sedar, pengakuan itu membawa beban. Ia menuntut pengisytiharan darurat dan penyertaan rakyat secara terbuka.

Maka dunia memilih untuk terus menafikan. Dunia memilih untuk mendiamkan istilah ‘perang dunia’ walaupun ia sedang berlaku di depan mata. Sekiranya kita tidak menamakan realiti ini, kita akan terus dibutakan oleh naratif palsu dimana dunia masih aman dan ini hanyalah “konflik serantau”

Dunia hari ini mungkin tidak mahu menyebut namanya. Tetapi sejarah akan mencatatnya jua.-airtimes.my

#Diskusi #AirTimes #Perangdunia

Related Articles

Leave a Reply