Home DiskusiKonflik Iran-Israel: Apa jadi jika Selat Hormuz ditutup?

Konflik Iran-Israel: Apa jadi jika Selat Hormuz ditutup?

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 17 JUN – Baru-baru ini, Iran telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersedia menutup Selat Hormuz susulan ketegangan yang semakin memuncak antara negara itu dengan Israel sejak minggu lalu.

Konflik Iran dan Israel bukan lagi sekadar isu serantau sahaja, ia kini berpotensi mencetuskan krisis global, khususnya apabila Iran mengancam untuk menutup Selat Hormuz iaitu laluan penting yang menjadi nadi kepada perdagangan minyak dunia. Meskipun ancaman tersebut dilihat sebagai strategi tekanan geopolitik, persoalan utama yang timbul adalah apakah kesannya kepada dunia, dan bagaimana pula impaknya terhadap Malaysia?.

Selat Hormuz ialah laluan sempit yang menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman dan seterusnya ke Laut Arab. Walaupun lebarnya hanya sekitar 33 kilometer di titik tersempit, ia menyalurkan lebih 20 peratus daripada bekalan minyak mentah dunia setiap hari. Negara-negara timur tengah seperti Arab Saudi, Iraq, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan selat ini untuk mengeksport hasil tenaga mereka. Justeru, apa-apa bentuk gangguan atau penutupan terhadap laluan ini bakal menjejaskan aliran tenaga global dalam sekelip mata.

Malah, negara-negara yang bergantung tinggi kepada import tenaga  seperti Jepun, Korea Selatan, China dan negara-negara Eropah  bakal menerima kesan paling cepat. Gangguan kepada laluan tenaga ini akan menjejaskan industri, pengangkutan, dan kelangsungan ekonomi mereka.

Dalam konteks geopolitik, penutupan Selat Hormuz bermaksud gangguan kepada eksport berjuta-juta tong minyak sehari. Harga minyak mentah dunia yang sudah sedia tinggi akibat konflik Israel-Gaza juga akan melonjak lebih jauh, mencecah paras krisis.

Ancaman Iran untuk menutup Selat Hormuz bukan kali pertama dikeluarkan. Namun kali ini, ia muncul di tengah-tengah ketegangan ketenteraan yang semakin panas dengan Israel, terutamanya selepas beberapa insiden serangan udara dan pertukaran ancaman terbuka antara kedua-dua pihak.

Kawasan penyimpanan minyak di Tehran terbakar susulan serangan Israel ke atas Iran pada Ahad lalu

Iran sedar akan nilai strategik selat ini. Justeru, ancaman untuk menutupnya merupakan satu bentuk isyarat bahawa mereka bersedia menggunakan ‘senjata ekonomi’ sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel dan sekutunya bahawa sekiranya kepentingan mereka terus dicabar, dunia juga akan menanggung akibatnya.

Selain itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bahawa beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari Iran Seyyed Abbas Araghchi dalam masa terdekat untuk meminta supaya laluan penting bagi eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) di Selat Hormuz tidak ditutup.

Beliau berkata sekiranya ditutup, ia boleh mengakibatkan laluan untuk perdagangan minyak daripada rantau Timur Tengah terganggu sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan minyak dunia dan melonjakkan harga pasaran global.

Jelasnya, rancangan penutupan selat hormuz ini akan mencetuskan perkara yang amat merumitkan dunia kerana bekalan minyak banyak datang dari kawasan berkenaan terutama dari Iran dan Qatar.

Persoalannya, sejauh mana realistiknya ancaman tersebut, dan apakah kesan langsung serta tidak langsung kepada Malaysia? Meskipun Malaysia tidak menggunakan Selat Hormuz secara terus untuk laluan eksport atau import minyak, kita tetap akan terkesan melalui beberapa saluran.

Pelabuhan Selat Hormuz, Iran

Pertama, penutupan selat tersebut akan menyebabkan harga minyak mentah global melonjak. Negara seperti Malaysia yang masih mengimport produk petroleum bertapis akan merasai kenaikan kos bahan api secara mendadak. Ini termasuk harga RON95, diesel dan gas LPG yang banyak digunakan oleh pengguna harian serta sektor industri.

Kedua, gangguan kepada laluan perdagangan antarabangsa akan menyebabkan kelewatan dan peningkatan kos logistik serta penghantaran barangan. Banyak komoditi, barangan elektronik, bahan mentah industri dan makanan yang melalui rantau Asia Barat ke Asia Tenggara boleh terjejas. Ini boleh memberi kesan langsung kepada sektor perkilangan, pengeluaran dan eksport negara.

Ketiga, ketidakstabilan pasaran kewangan global turut memberi tekanan kepada pasaran saham tempatan. Pelabur asing akan lebih berhati-hati, dan nilai mata wang seperti ringgit boleh merosot jika aliran keluar modal berlaku. Bursa Malaysia pula mungkin mengalami kejatuhan akibat ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

Bagi rakyat biasa, kesannya boleh dirasai dalam bentuk peningkatan kos sara hidup. Apabila harga minyak naik, kos pengangkutan, logistik dan barangan harian turut meningkat. Golongan berpendapatan rendah dan pertengahan terutamanya B40 dan M40 akan menjadi kelompok yang paling terkesan dalam menghadapi tekanan ekonomi ini.

Tidak cukup dengan itu, sebarang ketegangan yang melarat boleh mencetuskan ketidaktentuan politik dan keselamatan serantau, termasuk di Asia Tenggara. Ketegangan antara kuasa besar seperti Iran dan Amerika Syarikat boleh mencetuskan ketenteraan terbuka, yang akhirnya mengganggu kestabilan geopolitik dan perdagangan antarabangsa secara keseluruhan.

Dari sudut undang-undang antarabangsa, penutupan Selat Hormuz boleh dianggap sebagai tindakan melanggar prinsip kebebasan navigasi yang termaktub di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS). Walaupun Iran mengawal sebahagian perairan selat tersebut, laluan itu tetap dikategorikan sebagai laluan transit antarabangsa yang tidak boleh disekat secara unilateral. Tindakan tersebut boleh membawa justifikasi kepada tindak balas ketenteraan oleh negara-negara kuasa besar, dan menjerumuskan rantau tersebut ke dalam konflik berskala lebih besar.

Secara keseluruhan, hasrat Iran untuk menutup Selat Hormuz bukan sahaja bersifat provokatif, tetapi juga merisikokan ekonomi dan keselamatan global. Negara seperti Malaysia, walaupun secara geografi jauh dari medan konflik, tetap tidak terkecuali daripada menerima impaknya.

Dalam dunia yang semakin saling terhubung, sebarang tindakan unilateral yang menggugat kestabilan laluan strategik seperti Selat Hormuz adalah langkah yang membahayakan semua pihak. Apa yang berlaku antara Iran dan Israel hari ini perlu ditangani dengan kebijaksanaan diplomasi, bukan dengan ancaman yang membawa kesan kepada masyarakat dunia. -airtimes.my

#Konflik #IranIsrael #SelatHormuz #MinyakDunia #KrisisTimurTengah #EkonomiGlobal # #Geopolitik #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply