Home DiskusiDoktrin Dahiya: Taktik ketenteraan melumpuhkan secara menyeluruh

Doktrin Dahiya: Taktik ketenteraan melumpuhkan secara menyeluruh

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Iran antara salah sebuah negara yang turut tidak mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah entiti yang sah, malah amat tegas, bermusuhan dan menganggapnya sebagai rejim haram (Zionis) yang mengancam keselamatan serantau. Bagi Iran, Israel merupakan satu instrumen kepentingan Barat, terutamanya Amerika Syarikat untuk terus mendominasi Asia Barat, lalu menyokong pergerakan Hamas dan Jihad Islam demi mendapatkan kemerdekaan.

Susulan, konflik serangan antara Iran–Israel tercetus baru-baru ini, menyaksikan ketegangan mencapai kemuncak apabila masing-masing melancarkan serangan balas besar-besaran melibatkan peluru berpandu, dron dan serangan udara. Kejadian itu meningkatkan kebimbangan mengenai tercetusnya konflik serantau yang lebih luas, sehingga meragut ratusan nyawa dan memusnahkan infrastruktur penting di kawasan yang disasarkan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan, bahawa Israel merancang untuk melancarkan serangan ala ‘Dahiya’ terhadap Iran.

Nama Dahiya bukanlah sesuatu yang baharu bagi mereka yang mengikuti perkembangan konflik di Asia Barat. Doktrin Dahiya sememangnya penuh kontroversi, memandangkan pendekatannya memberikan kemusnahan jangka panjang di kawasan sasaran, seperti yang dapat dilihat di Gaza, Selatan Lubnan dan Yaman.

Asal-usul dan penggubalan doktrin

Istilah “Doktrin Dahiya” menjadi simbol pendekatan ketenteraan Israel apabila melibatkan penggunaan kekuatan melampau apabila berhadapan kumpulan bersenjata bukan negara, seperti Hezbollah dan Hamas. Asalnya, doktrin Dahiya ini berasal dari operasi ketenteraan Israel ketika Perang Lebanon Kedua 2006, yang mana merupakan kawasan di Beirut Selatan, markas utama Hezbollah menjadi sasaran serangan udara sehingga hampir sepenuhannya musnah.

Gagasan serangan itu kemudiannya diinstitusikan oleh Gadi Eizenkot, Komander Wilayah Utara IDF, yang menyatakan pendekatan tersebut ialah untuk mengenakan serangan balas yang hebat ke atas mana-mana kawasan yang digunakan untuk menyerang Israel.

Menurutnya lagi, kampung-kampung yang menjadi pangkalan musuh tidak lagi dianggap sebagai kawasan awam, sebaliknya diberi label sasaran ketenteraan.

Prinsip operasi dan sasaran kemusnahan

Prinsip operasi di sebalik doktrin Dahiya ialah menundukkan musuh melalui kemusnahan infrastruktur awam yang meluas, sekali gus meninggalkan beban pemulihan yang berat selepas konflik. Israel bermatlamat penggunaan doktrin ini mampu mewujudkan kesan pencegahan jangka panjang terhadap keinginan musuh untuk melancarkan serangan baharu, dan meningkatkan kos kemusnahan dan pembinaan semula.

Selain itu, pendekatan ini turut mengambil kira realiti perang asimetri, di mana musuh kerap beroperasi dari kawasan awam yang padat penduduk, lalu menjadikan garis antara sasaran awam dan ketenteraan lebih kabur.

Operasi Cast Lead pada 2008–2009 antara paling awal menggunakan doktrin ini, dengan menyaksikan lebih 1,400 rakyat Palestin terbunuh, majoritinya orang awam, termasuk hampir 300 kanak-kanak. Amnesty International dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan tersebut sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, memandangkan sasaran melibatkan infrastruktur awam.

Pada 2014, Operasi Protective Edge turut menyaksikan lebih 1,500 kematian awam apabila Israel menyasarkan bangunan kediaman, hospital, loji bekalan air, kemudahan elektrik dan pusat membeli-belah.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, melahirakan kebimbangan mengenai kemusnahan yang jauh melebihi matlamat ketenteraan yang munasabah.

Dalam pada itu, konflik Gaza 2023–2024 merupakan puncak pelaksanaan doktrin Dahiya, apabila lebih 39,000 penduduk Palestin dilaporkan terkorban, melibatkan wanita dan kanak-kanak, dan hampir keseluruhan infrastruktur asas Gaza, termasuk sistem kesihatan, bekalan makanan, air bersih dan kemudahan perubatan musnah.

Dalam konteks perundangan pula, beberapa pertubuhan hak asasi manusia, termasuk Human Rights Watch dan Amnesty International, menegaskan pendekatan Israel melanggar Konvensyen Geneva Keempat. Malah, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut membuka siasatan dan permohonan waran tangkap terhadap beberapa pemimpin Israel atas dakwaan jenayah perang dan kemanusiaan.

Namun, di sebalik kecaman yang diterima, pertahanan Israel kekal mempertahankan doktrin ini atas alasan keperluan mendepani realiti peperangan asimetri. Dalam perspektif mereka, kumpulan seperti Hamas dan Hezbollah sering menggunakan kawasan awam untuk melancarkan serangan, justeru sebarang operasi untuk menumpaskan musuh turut melibatkan sasaran awam.

Bagaimanapun, ramai pengkritik mempersoalkan sama ada pendekatan ketenteraan berskala besar tersebut benar-benar mampu mencapai keamanan jangka panjang. Malah, kemusnahan awam yang meluas lebih menyuburkan kebencian, radikalisasi dan ketidakstabilan serantau yang turut mengancam keselamatan Israel sendiri.

Sehubungan itu, doktrin Dahiya juga dianggap sebagai satu contoh penting bagaimana pertembungan lebih melibatkan penduduk awam, sehingga menjadikan mereka sasaran dan mangsa yang paling teruk.

Adakah Israel sedia untuk melaksanakan doktrin Dahiya terhadap Tehran? Andai kata mereka berjaya menggempur kepimpinan Iran sekalipun, ia mungkin akan melahirkan barisan pelapis yang lebih ramai.

Tel Aviv sudah tentu menyedari realiti tersebut, lalu terpaksa meluaskan skop sasaran, yang dapat dilihat apabila IDF turut menyerang Hamas dan Hezbollah. Malah, keadaan kemusnahan yang teruk dapat disaksikan di Gaza dan Lubnan.

Mungkin, Dahiya terhadap Tehran juga punya perancangan tersendiri dan sasaran yang lebih luas? Adakah fasiliti nuklear, senjata strategik, mungkin juga sasaran awam? Sesuatu yang pastinya, akan memberikan kesan yang lebih mendalam, bukan sahaja di Iran, malah di rantau Asia Barat. -airtimes.my

#Airtimes #Doktrin #Dahiya #Israel #Iran

Related Articles

Leave a Reply