JAKARTA 16 JUN – Syarikat pertahanan utama Turkiye, ASELSAN, memperkukuh kehadirannya di Asia Tenggara menerusi pemeteraian lima perjanjian kerjasama strategik bersama rakan industri pertahanan Indonesia di pameran INDODEFENCE di Jakarta.
Kelima-lima perjanjian itu merangkumi pemindahan teknologi, pengeluaran bersama, pembangunan sistem senjata serta integrasi sistem pertahanan canggih pada platform tempatan.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan pemindahan teknologi dan pengeluaran bersama dalam bidang radar, sistem pemantauan, keselamatan siber serta sistem arahan dan kawalan,” nyatanya berkenaan perjanjian bersama PT LEN Industri.
Justeru, perjanjian tersebut disalurkan menerusi DEFEND ID, konsortium utama industri pertahanan Indonesia.
Selain itu, dalam meneroka peluang kerjasama pasaran serantau, turut diusahakan bersama kumpulan Czech, CSG Group.
Dalam perjanjian berasingan, ASELSAN turut menandatangani persefahaman dengan Excalibur Army, anak syarikat CSG Group, untuk mengintegrasi sistem ASELSAN ke atas kenderaan taktikal PATRIOT 4×4 buatan Excalibur Army yang bakal digunakan di Indonesia.
Manakala, perjanjian dengan PT PINDAD pula, memberi tumpuan terhadap pembangunan bersama sistem senjata, teknologi kawalan api dan sistem panduan ketenteraan.
Sementara itu, kerjasama dengan PT PAL, ia memfokuskan kepada projek pemodenan serta pembangunan platform baharu dalam industri pembinaan kapal tempatan.
Dalam pada itu, ASELSAN turut melancarkan pembukaan rasmi pejabat tetapnya di Jakarta sempena pameran tersebut, bagi mengukuhkan komitmen jangka panjang.
“Pejabat ini akan berperanan sebagai pusat operasi serantau, merangkumi pembangunan penyelesaian tersuai, penyelenggaraan sistem serta pengukuhan hubungan langsung dengan rakan tempatan,” jelasnya.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif ASELSAN, Ahmet Akyol, menyatakan peluasan operasi syarikat itu di Asia Tenggara merupakan sebahagian daripada strategi global jangka panjang.
“Kami berbangga membawa keupayaan teknologi maju dan kerjasama yang kukuh ke pasaran strategik ini. Melalui pejabat di Jakarta, ASELSAN Indonesia akan menjadi penghubung terus dengan rakan kongsi tempatan, menyokong kerjasama mampan serta perkhidmatan di lokasi,” katanya.
Pemeteraian perjanjian strategik ini dilihat memperkukuh pengaruh Turkiye dalam ekosistem industri pertahanan Asia Tenggara, selain meningkatkan keupayaan tempatan Indonesia melalui pendekatan pemindahan teknologi serta pembangunan kapasiti jangka panjang.
“Saya percaya pejabat ini akan menjadi jambatan teknologi, ilmu dan persahabatan, membuka lembaran baharu kerjasama pertahanan yang saling menguntungkan,” ujarnya.
Majlis pembukaan turut dihadiri Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye, Prof. Dr. Haluk Görgün, yang menyifatkan pembukaan pejabat tersebut sebagai simbol hubungan strategik antara kedua-dua negara. -airtimes.my
#Airtimes #ASELSAN #INDODEFENCE #Turkiye #Indonesia