KUALA LUMPUR, 15 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kerajaan perlu memberi perhatian serius dan mengambil tindakan lebih tegas susulan jumlah kes kemalangan kian meningkat, khasnya membabitkan kenderaan berat.
Baginda kesal kerana telah berulang kali menyuarakan kebimbangan ini khususnya apabila menyentuh tentang hukuman terhadap pemandu kenderaan atau pun syarikat terlibat yang didapati cuai dan tidak menepati syarat keselamatan yang ditetapkan.
“Melihat kepada jumlah kes dan tragedi seumpamanya yang kian meningkat serta kadar kemalangan jalanraya yang semakin kerap berlaku, Baginda mahu tindakan segera yang lebih tegas diambil oleh pihak berkuasa,
“Sekiranya didapati bersalah dan menjadi punca dalam kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah, pemandu dan syarikat terlibat bukan sahaja perlu didenda atau dipenjara, malah lesen memandu mereka wajar ditarik balik,
“Ini bagi memberi pengajaran kepada pemandu lain agar mereka lebih berhati-hati dan memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi ketika memandu,” titah baginda dalam catatan Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Dalam hantaran yang sama, Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan takziah kepada keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terkorban dalam nahas di Teluk Intan pada Selasa.
Tragedi menyayat hati itu berlaku pada jam 8.50 pagi tadi apabila trak membawa 18 anggota FRU termasuk pemandu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Sultan Sharafuddin turut menggesa syarikat-syarikat yang mengendalikan perkhidmatan lori, bas dan kenderaan berat lain agar melaksanakan penilaian yang ketat dalam pemilihan pemandu dan kelindan.
“Pastikan hanya individu yang bersih dan tidak bermasalah diambil bekerja. Semau pihak diingatkan agar tidak menutup sebelah mata dan memandang ringan terhadap perkara-perkara yang boleh membawa kepada kecuaian seperti kondisi kenderaan serta kelayakan pemandu,” titah Baginda lagi.
Sultan Sharafuddin berharap tragedi seperti ini tidak berulang, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kehilangan nyawa anggota pasukan keselamatan yang berkhidmat demi menjaga keamanan negara.-airtimes.my
#airtimes #semasa #Malaysia #FRU #kemalangan #lori #TelukIntan