KUALA LUMPUR, 15 Mei – Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap keamanan global apabila mengemukakan enam inisiatif baharu dalam operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sempena UN Peacekeeping Ministerial Meeting 2025 yang berlangsung di Berlin, Jerman.
Forum dwitahunan itu menghimpunkan lebih 80 negara anggota PBB dan menjadi platform penting bagi negara-negara membentangkan sumbangan mereka dalam misi pengaman antarabangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara komitmen baharu Malaysia ialah menyiapkan satu Batalion Infantri untuk misi pengaman di bawah Sistem Keupayaan dan Kesiagaan Operasi Pengaman PBB (Peacekeeping Capability Readiness System – PCRS).
Beliau memaklumkan, Malaysia turut akan meningkatkan keupayaan pasukan pemusnah bom (EOD) bagi kontinjen MALBATT di Lubnan.
Tambah beliau, Malaysia juga komited terus memperkasa aspek latihan dan pembinaan kapasiti dengan meneruskan penawaran kursus kepada anggota pengaman dalam dan luar negara.
“Kursus United Nations Staff Officer (UNSO) Specialised Training Materials (STM) Training of Trainers (ToT) akan turut dianjurkan di Pusat Pengaman Malaysia (PPM) sebagai sebahagian daripada usaha ini,” jelas Kementerian Pertahanan (MINDEF), pada Khamis.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia beriltizam meneruskan sokongan terhadap agenda PBB berkaitan wanita, keamanan dan keselamatan (WPS).
“Ini dengan mengekalkan penyertaan anggota pengaman wanita dalam misi PBB, sejajar sasaran ditetapkan badan dunia itu,” katanya.
Malaysia juga akan menyediakan Pasukan Latihan Bergerak (Mobile Traning Team, MTT) serta pakar perubatan bagi melatih anggota perubatan misi PBB.
Ujarnya lagi, Malaysia juga akan menyediakan satu formed police unit (FPU) terdiri 160 anggota serta 32 pegawai polis sebagai individual police officer (IPO) untuk menyertai misi pengaman naungan PBB.
“Penglibatan Malaysia dalam UN Peacekeeping Ministerial Meeting 2025 ini menzahirkan komitmen berterusan terhadap keamanan sejagat serta menyokong peranan aktif negara dalam memperkukuh kerjasama pertahanan dan kemanusiaan di peringkat global selaras Kertas Putih Pertahanan Negara (KPP),” jelas kenyataan itu lagi.
Sementara itu, MINDEF turut memaklumkan, Mohamed Khaled juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius pada mesyuarat berkenaan.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua menteri mengulangi komitmen mengukuhkan kerjasama pertahanan melalui inisiatif seperti misi keamanan, latihan ketenteraan dan usaha memastikan kestabilan serantau.
“Kedua-dua negara juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama mencapai matlamat bersama demi kestabilan dan keamanan di rantau Asia Pasifik,” tambah MINDEF.
Selain itu, Mohamed Khaled juga mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto semasa menghadiri forum tersebut.
Kementerian berkata, kedua-dua negara berhasrat membawa hubungan serta kerjasama ke tahap lebih tinggi, termasuk meneroka kaedah perolehan secara kerajaan ke kerajaan (G2G) bagi produk pertahanan.
“Itali turut menyatakan kesediaan berkongsi kepakaran dalam keselamatan siber, kecerdasan buatan dan teknologi komunikasi,” katanya.-airtimes.my
#pertahanan #Malaysia #PBB #airtimes #misipengaman