BERLIN, 15 Mei – Malaysia terus mencipta sejarah di peringkat antarabangsa apabila menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Penglibatan Anggota Pengaman Wanita sempena Persidangan Menteri-Menteri Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Peacekeeping Ministerial 2025) di Berlin, Jerman.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, anugerah berprestij tersebut merupakan pengiktirafan terhadap komitmen berterusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya menerusi penglibatan aktif anggota pengaman wanita negara dalam Misi Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) di bawah panji Malaysian Battalion (MALBATT).
Menurut kenyataan rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pencapaian Malaysia selaras dengan sasaran Uniformed Gender Parity Strategy, sekaligus memperkukuh agenda global untuk memperkasa penyertaan wanita dalam misi keamanan antarabangsa.
“Malaysia kini mencatatkan 10.5 peratus penglibatan wanita dalam kalangan anggota pengaman di UNIFIL – satu angka signifikan yang menjadikan Malaysia antara penyumbang utama kepada agenda Women, Peace, and Security (WPS),
“Selain di Lubnan, ATM turut mengaturgerakkan anggota wanita sebagai Pegawai Pemerhati dan kakitangan dalam beberapa misi lain di bawah naungan PBB termasuk di Republik Demokratik Congo (MONUSCO), Sahara Barat (MINURSO) dan Abyei (UNISFA),” jelas MK ATM dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Majlis penyampaian anugerah di Berlin itu turut dihadiri Ketua Staf Markas ATM Lt Jen Datuk Azhan Md Othman bersama Penasihat Pertahanan Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di New York Kolonel Shamsuri Noordin.
Malaysia berkongsi pentas pengiktirafan bersama beberapa negara lain termasuk Fiji, Guatemala, Kenya, Malawi, Mongolia dan Tanzania, yang turut diberi penghormatan atas sumbangan memperkukuh keamanan dunia melalui penyertaan wanita dalam pasukan pengaman.
Majlis penganugerahan tersebut disertai oleh Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Penasihat Pertahanan di Perutusan Tetap Malaysia ke PBB, New York, Kolonel Shamsuri Noordin.
Penganugerahan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam diplomasi ketenteraan dan operasi keamanan sejagat di bawah panji PBB.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #wanita #MALBATT #ATM #Malaysia