Home SemasaGlobalMalaysia-Rusia sepakat perluas sektor aeroangkasa, AI dan ekonomi digital

Malaysia-Rusia sepakat perluas sektor aeroangkasa, AI dan ekonomi digital

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

MOSCOW, 15 MEI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia menyambut baik usaha memperluas dagangan dua hala serta menarik pelaburan baharu dari Rusia, terutamanya sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa,  kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

“Sebagai usaha memperkukuh keterhubungan, Malaysia mahu syarikat penerbangan Rusia termasuk Aeroflot menyambung semula laluan terus ke Malaysia sesegera mungkin bagi merancakkan pelancongan dan pertukaran budaya,” nyatanya.

Dalam sidang media bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, beliau turut menegaskan Malaysia komited dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia, termasuk dalam bidang teknologi, keselamatan makanan, tenaga, pertahanan dan AI.

“Kami berbincang secara menyeluruh mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan, tenaga, teknologi digital, pertahanan dan keselamatan siber,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar turut mengangkat potensi besar hubungan antara rakyat termasuk pertukaran pelajar, biasiswa, pengembangan program pengajian Melayu, serta kerjasama TVET dan sains teknologi.

“Kekaguman saya terhadap Rusia lahir bukan hanya dari hubungan diplomatik, tetapi daripada pemahaman terhadap ketabahan rakyatnya,” ujarnya yang turut menzahirkan penghargaan atas layanan yang sangat baik sepanjang lawatan ini.

Menurutnya, pertemuan di Kremlin semalam cukup bermakna membabitkan dua negara dalam terus mencari titik temu demi masa depan yang lebih aman dan makmur.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Presiden Putin atas sokongan terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS.

Beliau percaya, BRICS mampu menjadi saluran baharu untuk kerjasama pembangunan yang lebih adil dan seimbang bagi negara-negara membangun.

Di akhir pertemuan, Anwar turut menjemput Presiden Putin untuk berkunjung ke Malaysia, sama ada dalam masa terdekat atau sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober ini.

“Kehadiran beliau akan menjadi pemangkin penting ke arah hubungan dua hala dan kerjasama serantau yang lebih utuh,” katanya.

Anwar juga menyatakan, Rusia bukan sekadar sebuah kuasa besar, tetapi sebuah peradaban yang kaya dengan sejarah perjuangan, budaya, sastera dan seni. -airtimes.my

#AirTimes #AI #AEROANGKASA #RUSIA #MALAYSIA

Related Articles

Leave a Reply