ISLAMABAD, 8 MEI – Turkiye menjadi negara pertama, tampil menyatakan solidariti dengan mengutu tindakan serangan India ke atas Pakistan yang mengorbankan lebih 31 orang awam, awal pagi Rabu.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Rabu, telah menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif melalui panggilan telefon dan menyatakan kesediaan Turkiye untuk melakukan segala yang termampu bagi mengelakkan ketegangan antara India dan Pakistan daripada terus memuncak.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar dalam satu wawancara eksklusif bersama TRT World, dengan menyatakan bahawa sokongan tanpa syarat daripada Turkiye amat dihargai oleh Islamabad susulan selepas tindakan India itu disifatkan sebagai ‘perbuatan perang’.
“Serangan berlaku sekitar jam 1 pagi dan panggilan pertama yang saya terima adalah daripada Menteri Luar Turkiye,” nyata Dar.
Beliau memaklumkan lagi, kenyataan sokongan oleh Turkiye membuktikan bahawa hubungannya dengan Pakistan bukan sekadar diplomatik, bahkan menyifatkannya persaudaraan yang erat.
Sehubungan itu, menurut Direktorat Komunikasi Turkiye menerusi platform X, dalam perbualan itu, Erdogan turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa Pakistan dalam insiden tersebut, dan mendoakan agar mangsa yang cedera segera pulih.
Presiden Erdogan, turut memuji pendekatan Pakistan yang ‘tenang dan berhemah’ dalam menangani krisis tersebut dan berkata cadangan Pakistan untuk menjalankan siasatan antarabangsa yang bebas, telus dan berwibawa berhubung insiden serangan pada 22 April lalu di Jammu dan Kashmir adalah wajar.
Sementara itu, Kementerian Luar Turkiye dalam kenyataan berasingan, turut mengecam tindakan India yang disifatkan sebagai “provokatif” serta memberi amaran bahawa ia boleh mencetuskan peperangan secara besar-besaran jika tidak ditangani segera.
Selain Turkiye, beberapa negara serta badan antarabangsa turut menyuarakan kebimbangan dan menyeru agar konflik diselesaikan secara aman. Antaranya, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari India dan Pakistan, menggesa agar dialog dijalankan segera.
Terdahulu, pada Rabu, Islamabad menyatakan sekurang-kurangnya 26 orang awam terbunuh dan 46 lagi cedera dalam “Operasi Sindoor” oleh India di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan. New Delhi pula menyatakan bahawa ia menyasarkan “infrastruktur pengganas” di Pakistan. -airtimes.my
#AirTimes #Turkiye #Serangan #OperasiSindoor #India #Pakistan