if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Tiada lagi akaun @Muslim di India, Meta sekat atas arahan kerajaan New Delhi

Tiada lagi akaun @Muslim di India, Meta sekat atas arahan kerajaan New Delhi

by Suraya Aziz

NEW DELHI, 8 MEI – Akaun Instagram @Muslim yang memaparkan berita dan isu berkaitan umat Islam tidak lagi boleh diakses di India selepas Meta menyekatnya atas permintaan rasmi kerajaan negara itu.

Sekatan itu menyebabkan pengguna di India tidak lagi dapat melihat kandungan akaun tersebut, yang dikenali sebagai saluran bebas khusus memaparkan laporan isu-isu berkaitan umat Islam di seluruh dunia. Akaun yang memiliki lebih 6.7 juta pengikut tersebut bagaimanapun masih boleh diakses di luar India.

Mengulas lanjut, Meta dalam kenyataannya hari ini kekal mempertahankan tindakannya dengan menyatakan syarikat itu terikat kepada undang-undang tempatan:

“Apabila kami menerima permintaan sah daripada kerajaan, kami menilai permintaan itu berdasarkan undang-undang tempatan dan piawaian hak asasi manusia,” menurut jurucakap Meta melalui laman sosial.

Sementara itu, pengasas dan ketua editor akaun @muslim, Ameer Al-Khatahtbeh berkata, pihaknya menerima ratusan mesej, emel dan komen daripada pengikut di India yang mendakwa kegagalan mereka dalam mengakses akaun tersebut.

“Meta mengharamkan laman @Muslim di India atas permintaan kerajaan India. Ini adalah penapisan. Apabila platform dan negara cuba menyenyapkan media, ia memberitahu kami bahawa kami menjalankan tugas kami dalam memastikan mereka yang berkuasa bertanggungjawab.

“Kami akan terus mendokumentasikan kebenaran dan berdiri teguh untuk keadilan, seperti yang diperintahkan kepada kami oleh Allah (SWT). Kami menuntut Meta untuk mengembalikan semula akses akaun kami di India & untuk penghapusan penapisan pada entiti media yang membuat liputan berita yang mempengaruhi masyarakat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan di media sosial X dan Instagram.

Dalam pada itu, sekatan terhadap akaun @Muslim bukanlah kejadian terpencil. Ia berlaku dalam konteks lebih luas melibatkan beberapa dasar kontroversi kerajaan India yang sebelum ini turut dikritik kerana dilihat mendiskriminasi masyarakat Islam.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, India pimpinan kerajaan nasionalis Hindu telah beberapa kali dikritik kerana dasar yang didakwa meminggirkan umat Islam.

Antaranya termasuklah pindaan kontroversi Akta Kewarganegaraan (CAA) pada 2019 yang membenarkan pelarian bukan Islam dari negara jiran seperti Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan mendapat kerakyatan India. Namun mengecualikan pelarian beragama Islam.

Selain itu, laporan daripada badan hak asasi turut mendakwa berlaku peningkatan penapisan kandungan berkaitan Islam di platform digital serta penahanan individu yang mengkritik dasar kerajaan terhadap minoriti Muslim. Justeru, insiden sekatan akaun @Muslim ini dilihat sebagai satu lagi langkah menyekat naratif alternatif berkaitan komuniti Islam di ruang media sosial India.

Setakat ini, kerajaan India masih belum mengeluarkan penjelasan terperinci mengenai justifikasi sekatan ke atas akaun @Muslim. -airtimes.my

#Islam #Meta #India #Muslim #Global

Related Articles

Leave a Reply