if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Pertahanan dan Keselamatan 21 pegawai dan anggota ATM di India, Pakistan selamat – Menteri Pertahanan

21 pegawai dan anggota ATM di India, Pakistan selamat – Menteri Pertahanan

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 8 Mei – Seramai 21 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang mengikuti kursus ketenteraan di Pakistan serta India disahkan dalam keadaan selamat, meskipun ketegangan geopolitik melanda kedua-dua negara berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, seramai 18 anggota kini berada di kolej ketenteraan di India, manakala tiga lagi di kolej ketenteraan di Pakistan.

“Mereka (pegawai dan anggota) tidak terlibat dalam kawasan berlakunya serangan serta konflik, dan sebahagian besarnya memang akan habis tahun ini,

“Ketika ini, semuanya dalam keadaan selamat, tapi kita akan terus memantau,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Boustead Plantations Berhad, Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh.

Ketegangan antara kedua-dua negara ini meningkat susulan serangan berdarah pada 22 April lalu di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, mengorbankan 26 mangsa.

India menyalahkan Pakistan atas insiden itu, namun Islamabad menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka.

Terbaharu, Tentera Udara Pakistan (PAF) mendakwa telah menembak jatuh lima pesawat pejuang milik Tentera Udara India (IAF) susulan serangan peluru berpandu oleh India ke atas beberapa lokasi di Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Difahamkan, lima pesawat tempur yang ditembak jatuh itu termasuk tiga jet Rafale, satu MiG-29 dan satu SU-30, yang dipercayai cuba melancarkan serangan dari ruang udara India.

Terdahulu, Projek Jana Veteran adalah inisiatif digerakkan Boustead Plantations dengan usaha sama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM untuk membantu mereka menjana pendapatan stabil melalui program pertanian, selain membantu usaha kerajaan memperkukuh aspek keterjaminan makanan.

Projek di Ladang Telok Sengat juga perintis memfokuskan tanaman halia dan cili fertigasi, dengan Boustead Plantations secara awal menyediakan 15 plot fertigasi di tanah seluas 12 hektar bagi tujuan penanaman halia sebelum diperluaskan kepada tanaman lain.-airtimes.my

#airtimes #pertahanan #Malaysia #Pakistan #India

 

Related Articles

Leave a Reply