PAKISTAN – Tentera Udara Pakistan (PAF) mendakwa telah menembak jatuh lima pesawat pejuang milik Tentera Udara India (IAF) susulan serangan peluru berpandu oleh India ke atas beberapa lokasi di Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif mengesahkan perkara itu kepada stesen penyiaran Geo TV dan menyifatkannya sebagai tindak balas terhadap pencerobohan rentas sempadan oleh India.
“PAF telah menembak jatuh sekurang-kurangnya lima pesawat pejuang India sebagai respons kepada tindakan agresif India baru-baru ini,” katanya.
Difahamkan, lima pesawat tempur yang ditembak jatuh itu termasuk tiga jet Rafale, satu MiG-29 dan satu SU-30, yang dipercayai cuba melancarkan serangan dari ruang udara India.
Setakat ini, tiada maklum balas segera daripada pihak berkuasa India berhubung dakwaan tersebut.
India sahkan pelancaran ‘Operasi Sindur’
Mengulas lanjut, Kementerian Pertahanan India mengesahkan, angkatan tentera negara itu telah melancarkan satu operasi dikenali sebagai ‘Operation Sindur’ yang menyasarkan infrastruktur pengganas di wilayah Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.
“Masyarakat antarabangsa harus tahu bahawa tindakan ini adalah tindak balas terhadap serangan pengganas kejam di Pahalgam yang mengorbankan 25 rakyat India dan seorang rakyat Nepal.
“Sebanyak sembilan peluru berpandu telah dilancarkan. Serangan ini bersifat terhad, bersasar dan tidak bertujuan meningkatkan ketegangan. Tiada sasaran ketenteraan Pakistan yang diserang,” jelas kenyataan rasmi itu.
Terdahulu, serangan misil oleh India menyasarkan enam kawasan termasuk Bahawalpur, Muridke, Bagh, Muzaffarabad dan Kotli. Pakistan mendakwa serangan itu menyebabkan 8 orang terbunuh, 2 masih hilang manakala baki 35 lagi cedera.
Dalam masa sama, tembakan rentas sempadan antara kedua-dua negara masih berterusan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan wilayah Jammu dan Kashmir.
Ketegangan antara kedua-dua negara ini meningkat susulan serangan berdarah pada 22 April lalu di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, mengorbankan 26 mangsa. India menyalahkan Pakistan atas insiden itu, namun Islamabad menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka.
Ekoran situasi yang semakin meruncing, Pakistan telah menutup ruang udaranya selama 48 jam. Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa bertindak membatalkan atau mengubah laluan penerbangan, manakala sebahagiannya menggantung sementara perkhidmatan ke Pakistan. – airtimes.my
#Airtimes #perang #India #Pakistan #Global