LAHORE, 8 MEI – Sistem Pertahanan Udara Pakistan, memaklumkan telah menembak jatuh 12 buah dron milik India yang didakwa menceroboh ruang udara, awal pagi Khamis berhampiran pangkalan udara tentera laut di bandar timur Lahore.
Menurut pihak polis dan pegawai keselamatan negara itu, serangan dilancarkan ketika pemindahan ribuan penduduk India dari kampung berhampiran di wilayah Kashmir.
Memetik kenyataan Portal Arab News, pegawai polis tempatan, Mohammad Rizwan berkata, sebuah dron ditembak jatuh berhampiran Lapangan Terbang Waltan.
Perkara itu turut dinyatakan oleh dua pegawai keselamatan, bahawa dron kecil milik India berjaya ditumpaskan oleh sistem pertahanan udara Pakistan.
“Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada dron itu dilengkapi senjata,” katanya.
Sementara itu, media tempatan lain turut melaporkan terdapat dua lagi dron ditembak di bandar-bandar lain di wilayah Punjab dan Lahore.
Pada masa sama, serangan itu belum dapat disahkan secara bebas dan kementerian pertahanan India belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Menurut jurucakap tentera Pakistan, Ahmed Sharif Chaudhry, India telah menghantar dron buatan Israel jenis Harop ke beberapa lokasi, termasuk dua bandar terbesar Pakistan iaitu Karachi dan Lahore, dan serpihan dron tersebut sedang dikumpulkan.
“Dron India terus menceroboh ruang udara Pakistan…(India) akan terus menanggung akibat besar atas pencerobohan terbuka ini,” tegasnya. – airtimes.my
#AirTimes #Dron #India #Pakistan