SAGAING, MYANMAR, 7 Mei – Hospital Medan Malaysia (HMM) mencatat satu lagi kejayaan apabila menerima pesakit ke-2,000 serta melaksanakan pembedahan plastik sumbing bibir dan lelangit pertama dalam misi Op Starlight III, hasil kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Kejayaan berganda ini dicapai pada jam 11.30 pagi waktu tempatan (1.30 petang waktu Malaysia), sekali gus membuktikan tahap kepercayaan tinggi masyarakat tempatan terhadap mutu rawatan yang disediakan Malaysia pasca bencana gempa bumi yang melanda wilayah Sagaing bulan lalu.
Komander HMM, Kolonel (Dr) Ahmad Farhan Ahmad Fuad menyifatkan pencapaian itu sebagai lambang ketekunan, profesionalisme dan keberkesanan sistem perkhidmatan yang dibangunkan oleh pasukan perubatan ATM dalam persekitaran mencabar.
Lebih membanggakan, buat julung kalinya ATM berjaya menjalankan pembedahan rekonstruktif ke atas seorang bayi enam bulan yang mengalami sumbing bibir dan lelangit.
“Pembedahan kompleks selama tiga jam itu menggunakan fasiliti dewan bedah mudah alih pasukan Forward Anaesthesia Surgical Tactical (FAST), menjadikannya misi sulung penggunaan aset tersebut dalam operasi sebenar di luar negara,
“Pembedahan ini menjadi penanda aras baharu keupayaan Kor Kesihatan Diraja (KKD) dalam rawatan kompleks mangsa bencana, selain membuktikan kesiapsiagaan aset dan anggota ATM menghadapi situasi kecemasan pelbagai bentuk,” jelas Markas ATM dalam satu kenyataan, hari ini.
Prosedur tersebut diketuai Pakar Bedah Plastik, Lt. Kol. (Dr) Muhammad Izzuddin Hamzan bersama dua Pakar Bius, Lt. Kol. (Dr) Mohd Zaid Abdul Kadir dan Lt. Kol. (Dr) Md Ariff Md Yusof.
Turut terlibat Mejar (Dr) Amirul Muttaqin Sham; Sarjan Muhamad Aznan Amerudin (Pembantu Bius); serta Sarjan Atiqah Rahdiani Jasni dan Koperal Noordiana Aziz (Pembantu Bedah).
“Kejayaan ini bukan sahaja menonjolkan kecemerlangan ATM dalam bidang perubatan ketenteraan, malah memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara prihatin dan komited dalam membantu komuniti antarabangsa yang terkesan dengan bencana,” jelas Markas ATM lagi. -airtimes.my
#pertahanan #Hospitalmedan #Malaysia #Myanmar #airtimes #ATM #KKD