if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa “Saya pun naik darah bila ramai orang ceroboh tanah negeri Pahang” – Sultan Abdullah

“Saya pun naik darah bila ramai orang ceroboh tanah negeri Pahang” – Sultan Abdullah

by M.Daim

KUANTAN, 14 APR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa murka terhadap isu pencerobohan tanah di negeri Pahang.

“Saya pun naik darah juga dengan banyak orang menceroboh tanah negeri Pahang ini,

“Sudah tiba masanya kita berkeras dengan mereka-mereka yang menceroboh tanah-tanah di negeri Pahang,” titah Sultan Abdullah semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut.

Baginda turut bertitah agar rakyat Pahang untuk menjadi mata dan telinga terhadap isu pencerobohan tanah.

“Jagalah negeri kita, jagalah bumi Pahang kita dengan sebaik mungkin,

“Jadilah mata dan telinga kepada Sultan Pahang. Jangan bagi orang menceroboh tanah-tanah negeri Pahang,” titah Al-Sultan Abdullah.

Mutakhir ini, Pahang menjadi tumpuan berikutan tindakan penguatkuasa kerajaan negeri menebang ratusan pokok durian di Raub.

Pada 8 April lalu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mendedahkan tindakan penguatkuasaan yang menebang 200 pokok durian di kebun durian tanpa geran di Sungai Klau, Raub.

“Pekebun yang kembali ke kebun sekitar jam 3 petang mendapati pokok-pokok Musang King yang ditebang itu kebanyakannya adalah berusia antara 30 hingga 40 tahun – yang mana merupakan hasil usaha keras mereka selama beberapa dekad,

“Tindakan penguatkuasa yang datang tanpa sebarang notis dan terus menebang pokok-pokok ini amat menyedihkan dan sukar diterima oleh pekebun durian,” kata Chow yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA).

Dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya, Chow menyatakan para petani meluahkan rasa kecewa serta menitiskan air mata kerana kebanyakan pokok yang ditebang adalah berusia 30 hingga 40 tahun.

Beliau menyifatkan pokok yang ditebang adalah hasil keras usaha petani di kebun berkenaan.

“Tindakan penguatkuasa yang datang tanpa sebarang notis dan terus menebang pokok-pokok ini amat menyedihkan dan sukar diterima oleh pekebun durian,” katanya.

Chow Yu Hui berpendapat tindakan penguatkuasa kerajaan negeri Pahang hari ini yang melayan pekebun durian seperti musuh.

“Demi melindungi kepentingan tertentu, kerajaan sanggup menjadikan hasil kerja keras pekebun sebagai alat balas dendam — satu tindakan yang sangat mengecewakan dan kejam,” tegas Ahli Parlimen Raub.

Beliau turut mendakwa tindakan penguatkuasaan tersebut adalah melanggar perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 24 Mei 2024 yang menjelaskan tiada pihak yang dibenarkan melakukan sebarang pemusnahan struktur atau penebangan pokok-pokok durian di kawasan Raub yang disenaraikan, kecuali dengan kebenaran Mahkamah.

““Tindakan penebangan oleh pasukan penguatkuasa hari ini jelas melanggar perintah mahkamah dan boleh dianggap sebagai penghinaan proses mahkamah,

“Pekebun akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri bagi menuntut pampasan atas kerugian yang dialami dan mempertahankan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Sebuah portal dalam talian tempatan pada 10 April lalu  menyiarkan video Ahli Parlimen Raub dan petani telah bertelegah dengan penguatkuasa negeri Pahang dalam satu operasi  menebang pokok durian.

Video tersebut turut tular di aplikasi penyiaran video TikTok.

‘Salah tetap salah’

Susulan tular video tersebut, laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim pada Sabtu.

“Saya nak tegaskan di sini kepada YB Chow Yu Hui, kamu sebagai pembuat dasar, Ahli Parlimen, sepatutnya kamu tahu yang mana kesalahan ini tidak boleh kita betulkan kalau dah salah,

“Maksud saya di sini, janganlah kita mengajar atau mendidik penduduk di Raub membuat tindakan yang salah,” tegas Kamil.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh menggesa agar Chow dikenakan humuan yang setimpal agar menjadi pengajaran kepada yang lain.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasa negeri Pahang adalah berdasarkan lunas undang-undang dan juga restu Al-Sultan Abdullah.

Dr Akmal membangkitkan Mahkamah Tinggi Kuantan pada April 2024 telah menolak permohonan semakan semula kehakiman pekebun Musang King.

“Mahkamah Tinggi Kuantan menolak semua permohonan dan menyatakan itu adalah tanah milik kerajaan negeri,” katanya.

‘Polis akan panggil Chow, 4 individu lain’

 

Sementara itu, pihak polis menyatakan Ahli Parlimen Raub bersama 4 individu lain akan dipanggil untuk memberikan keterangan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Agensi Bernama memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abd Rahman berkata Chow akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini 3 laporan polis telah diterima melibatkan operasi itu dan siasatan sedang dijalankan,” kata Shahril.

Kesemua 3 laporan telah dibuat oleh pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), pihak polis dan badan bukan kerajaan (NGO) pada Sabtu. – airtimes.my

#AirTimes #Semasa #Pahang

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?