SEPANG, 14 APRIL – Keselamatan di lapangan terbang penting kerana peranannya sebagai pintu gerbang pengangkutan udara selain aktiviti ekonomi menerusi kargo serta hantaran.
Sebab itu tanggungjawab memastikan keselamatan lapangan terbang negara yang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) digalas Aviation Security (AVSEC) atau Polis Bantuan Lapangan Terbang.
Polis Bantuan MAHB ini melaksanakan tugas-tugas utama dalam penguatkuasa undang-undang, kawal keselamatan penumpang, cegah jenayah dan menjamin keselamatan kawasan penerbangan.
Kehadiran Polis Bantuan MAHB memperkukuh tahap keselamatan 39 buah lapangan terbang di seluruh negara.

Wanita tidak ketinggalan menyahut cabaran untuk menjadi anggota Polis Bantuan Lapangan Terbang (AVSEC). Foto: Malaysia Airports
Terbaru, seramai 15 pelatih pegawai dan 301 anggota menjadi generasi baharu AVSEC setelah berjaya menamatkan latihan asas kepolisan selama enam bulan.
Latihan bermula 5 Oktober tahun lalu itu di bawah kendalian Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) dan School of Aviation Security Malaysia Airport Training Centre.
Modul latihan ini dibahagikan secara berfasa mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh PDRM dan MAHB.
Fasa utama membabitkan latihan intensif selama dua bulan di PULAPOL yang memberi fokus kepada asas ketenteraman awam dan disiplin keselamatan.
Seterusnya ialah fasa latihan empat bulan di Pusat Latihan MAHB melibatkan program latihan asas pengawal keselamatan.
Antaranya memberi fokus tentang Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, Akta-akta Penerbangan Awam dan National Civil Aviation Security Programme.
Fasa akhir merupakan latihan dalam perkhidmatan selama dua bulan bagi memberikan pengalaman praktikal di lapangan.
Pelatih ditempatkan di KLIA dan KLIA2 melibatkan modul latihan kepolisan, perundangan antarabangsa dan Malaysia Prosedur Operasi Standard (SOP) serta pelan kontinjensi tangani ancaman keganasan lapangan terbang.

Inspektor Polis Bantuan Nurul Najwa Munirah Md Saleh telah diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan Kategori Inspektor Polis Bantuan. Foto: PDRM
Terdahulu, Majlis Tamat Perbarisan Asas AVSEC kali ini telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Kompleks Bunga Raya KLIA.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad bersama Pengerusi MAHB, Dr. Nungsari Ahmad Radhi.
Walaupun majlis berlangsung dalam keadaan hujan, namun para pelatih telah mempamerkan mutu disiplin yang tinggi semasa perbarisan dan kawad lintas hormat.
Pada majlis tersebut, Inspektor Polis Bantuan Nurul Najwa Munirah Md Saleh telah diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan Kategori Inspektor Polis Bantuan.
Nurul Najwa Munirah, 27 yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia dari Universiti Malaysia Terengganu.
Sementara itu dalam ucapannya, Razarudin menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pegawai AVSEC atas kejayaan menamatkan latihan asas dengan cemerlang.
“Kejayaan ini menjadi titik permulaan perjalanan kerjaya tuan-tuan dan puan-puan sebagai seorang Pegawai Polis Bantuan MAHB.
“Pegawai Polis Bantuan MAHB mempunyai peranan yang amat kritikal dan perlu sentiasa bersiap siaga bagi mendepani sebarang bentuk ancaman,” ujarnya. – airtimes.my