WASHINGTON, 14 APR – Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, menegaskan bahawa tiada negara akan terlepas daripada tindakan keras pentadbirannya terhadap ketidakseimbangan perdagangan dan sekatan bukan tarif yang didakwanya menindas kepentingan ekonomi AS, terutamanya oleh China.
Dalam satu kenyataan di akaun media sosial rasminya, Trump menafikan dakwaan media mengenai pengecualian tarif ke atas produk tertentu yang diumumkan minggu lalu, sambil menekankan bahawa barangan berkenaan masih tertakluk kepada tarif sedia ada sebanyak 20% di bawah kategori Fentanyl, tetapi kini diletakkan di bawah klasifikasi tarif berbeza.
“Tiada pengecualian tarif diumumkan pada hari Jumaat. Produk ini masih tertakluk kepada tarif 20% dan hanya dipindahkan ke ‘bucket’ (kadar) tarif yang berbeza,” ujar Trump sambil menyelar laporan media yang menurutnya “enggan melaporkan perkara sebenar”.
Trump turut mengumumkan bahawa pentadbirannya akan meneliti keseluruhan rantaian bekalan elektronik, termasuk semikonduktor, menerusi siasatan tarif baharu atas alasan keselamatan negara.
“Apa yang terdedah sekarang adalah keperluan untuk kita hasilkan produk di Amerika Syarikat dan tidak lagi dijadikan tebusan oleh negara-negara lain, terutama sekali negara dagang yang bermusuh seperti China,” kata Presiden AS.
Trump menyatakan bahawa China telah “menyalahgunakan” hubungan dagang dengan AS selama beberapa dekad, dan menegaskan bahawa “zaman itu telah berakhir”.
Beliau juga mengaitkan strategi perdagangan kerasnya dengan agenda pemulihan ekonomi domestik dan penyediaan pekerjaan bergaji tinggi.
“Era Keemasan Amerika akan tiba, termasuk pemotongan cukai dan peraturan yang telah diluluskan oleh Dewan dan Senat, akan membawa lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi serta pengeluaran produk dalam negara,” ujarnya.
Trump menutup kenyataannya dengan slogan kempen utamanya: “Make America Great Again!”
Kenyataan ini hadir ketika ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China semakin meningkat, susulan tindakan pentadbiran Trump menaikkan tarif ke atas pelbagai produk dari Beijing dan menyasarkan sektor strategik termasuk teknologi dan pertahanan. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #Global #Trump