KUALA LUMPUR, 14 Apr – Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 15 hingga 17 April ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri pertama lawatan negara oleh Presiden Xi pada tahun ini dan akan disertai oleh menteri-menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan China.
Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terjalin sejak 31 Mei 1974 terus diperkukuh, khususnya selepas kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lalu.
Kali terakhir Presiden Xi mengadakan lawatan negara ke Malaysia adalah pada 2013, di mana hubungan kedua-dua negara ditingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
Sepanjang lawatan ini, Presiden Xi akan disambut dengan istiadat rasmi dan dijadualkan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Baginda juga berkenan meraikan Presiden Xi dan delegasi beliau dalam satu majlis santapan negara.
Presiden Xi turut dijadual bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kerjasama dua hala, termasuk isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen penting termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), Perjanjian dan Nota antara Malaysia dan China,
“Perdana Menteri juga akan menjadi hos majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan kehadiran Presiden Xi,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan, pada Isnin.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China kekal komited memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif melalui dialog, saling kepercayaan dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat rantau ini.
Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.
Jumlah dagangan dua hala pada tahun 2024 mencecah RM484.12 bilion, menyumbang 16.8 peratus kepada jumlah perdagangan global Malaysia yang berjumlah RM2.879 trilion.-airtimes.my
Xi dijadual mengadakan pertemuan dengan PM Anwar untuk membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu yang menjadi kepentingan bersama.
#airtimes #Malaysia #China #diplomasi #XiJinping #anwar