if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Pertahanan dan Keselamatan Op NAGA halang pencerobohan nelayan asing, elak ketirisan ekonomi marin

Op NAGA halang pencerobohan nelayan asing, elak ketirisan ekonomi marin

by Zaki Salleh

MELAKA, 11 April – Op NAGA bukan operasi biasa tetapi operasi bersepadu pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa dalam menangkis ancaman pencerobohan khususnya di Laut China Selatan.

Terutamanya membabitkan vesel penangkapan ikan asing yang mengancam kedaulatan, keselamatan dan sumber ekonomi negara.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, Op NAGA memasuki fasa baharu dengan penyelarasan taktikal yang lebih agresif dan bersepadu.

Tegasnya, ini bagi membanteras pencerobohan Vesel Nelayan Asing (VNA) ke dalam Zon Maritim Malaysia.

“Op NAGA dapat membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang tidak dilapor dan tidak dikawal selia.

“Ia bukan sahaja merugikan industri perikanan tempatan negara tetapi ia juga menjejaskan ekosistem maritim negara selain mencabuli sempadan.

“Justeru, kerjasama semua pihak sama ada pasukan keselamatan mahupun agensi sokongan amat perlu dalam usaha mempertingkatkan pengawasan dan tindakan membanteras aktiviti jenayah ini di perairan negara.

“Kita bukan hanya menangkap penceroboh, kita juga ingin menghantar mesej jelas, bahawa perairan Malaysia bukan untuk diceroboh sesuka hati,” tegas Mohd Zawawi.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Op NAGA Bil. 1/2025.

Turut hadir Asisten Ketua Staf, Operasi dan Latihan Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin; Timbalan Pengarah Kastam, Mohd Nasir Mustapha dan Timbalan Komander Pasukan Polis Marin, ACP Noor Azman Jamal.

Mesyuarat kali ini turut membincangkan pemerkasaan aset strategik, pelaksanaan operasi bersepadu lebih efisien, pengukuhan risikan serta pendekatan jangka panjang yang mampu melonjakkan keberkesanan penguatkuasaan maritim negara.

Bagi APMM, agensi itu akan memastikan tiada sebarang anasir asing yang cuba menggugat perairan negara dengan memperkasakan rondaan di sekitar perairan negara.

Mohd Zawawi dalam pada itu menegaskan, kerjasama strategik antara pasukan keselamatan dan agensi sokongan menjadi tunjang kejayaan Op NAGA.

Sehingga Disember 2024, Op NAGA telah berjaya mencatatkan keseluruhan tangkapan sebanyak 619 kes.

Manakala nilai keseluruhan lucut hak, denda dan lelong adalah RM141.7 juta.

Nilai keseluruhan tangkapan ini diharapkan dapat memberikan Return Of Investment (ROI) sepanjang pelaksanaan Op NAGA ini kepada Kerajaan Malaysia.

“Jumlah itu bukan sekadar angka, ia adalah pulangan besar terhadap pelaburan kerajaan dalam keselamatan maritim melibatkan sumber negara, pendapatan nelayan tempatan dan maruah perairan kita sendiri,” tambah beliau.

Op NAGA menyaksikan penglibatan besar-besaran 14 pasukan operasi dan agensi sokongan.

Selain APMM, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Udara dari PDRM, turut terlibat Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, TUDM, TLDM, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Terlibat sama ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, ESSCOM, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Pelabuhan & Dermaga Sabah, Taman-taman Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -airtimes.my

#keselamatan #APMM #ceroboh #OpNaga #airtimes #malaysia

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?