Insiden pencerobohan berskala besar melibatkan tanah kerajaan negeri Pahang oleh pekebun durian haram di Raub telah lama berlarutan sejak puluhan tahun.
Ini berdasarkan laporan media apabila pekebun-pekebun mendakwa usia pokok durian musang king yang mereka usahakan mencecah antara 30 hingga 40 tahun.
Jika mengambil kira usia matang pokok durian ini adalah setelah mencecah lima tahun, bermakna keuntungan yang diperoleh pekebun sejak puluhan tahun mencecah jutaan ringgit.
Biasanya sebatang pokok durian musang king matang yang mengeluarkan sehingga 300 biji buah semusim boleh menjana keuntungan melebihi RM21,000.
Pencerobohan ini bukan dilakukan pekebun biasa yang hidup kais pagi makan pagi, sebaliknya satu perusahaan ekonomi terancang.
Sememangnya ini merupakan perniagaan yang lumayan selain mempunyai pasaran luas di luar negara.
Berdasarkan kiraan rawak ini menunjukkan pekebun durian telah mengaut untung besar tanpa sebarang tindakan diambil selama mereka menceroboh tanah kerajaan.
Bayangkan berapa banyak ketirisan berlaku melalui sumber ekonomi yang diusahakan secara haram ini.
Bagaimana pun, ketegasan kerajaan negeri Pahang menangani pencerobohan tersebut ditunjukkan menerusi operasi penguatkuasaan terhadap kebun musang king haram Raub di Sungai Ruan kelmarin.
Operasi melibatkan pemusnahan pokok durian kebun haram seluas lebih 202.34 hektar.
Kawasan yang diceroboh pekebun merupakan kawasan hutan simpan kekal dan tanah kerajaan negeri Pahang.
Operasi penguatkuasaan terhadap kebun musang king haram di Raub ini adalah sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ketika bertitah demikian pada Februari lepas.
Baginda bertitah supaya tindakan penguatkuasaan keras diambil kepada semua peneroka haram tanpa kompromi.
Justeru, penguatkuasaan dijalankan dan diteruskan sehingga keseluruhan kawasan tanaman durian haram Raub diputihkan dan ketirisan hasil negeri dapat dielakkan.
Jika mengikut kiraan di atas kertas, satu hektar tanah boleh ditanam dengan 70 batang pokok durian musang king.
Operasi membabitkan lebih 150 anggota penguat kuasa terlibat seperti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Pejabat Hutan, Pejabat Tanah dan Daerah Raub.
Manakala kawalan keselamatan dilakukan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Raub serta Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Galing, Kuantan.
Seperti dijangka tindakan penguatkuasaan menimbulkan kemarahan pekebun durian haram termasuk mendapat campur tangan pemimpin politik tempatan.
Jelas, tindakan ini menunjukkan mereka sendiri tidak menghormati proses undang-undang selain sifat hipokrit kerana telah menceroboh tanah kerajaan.
Pada masa sama, cubaan pemimpin politik tersebut untuk membela pekebun haram dengan memainkan naratif sebagai mangsa penindasan dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.
Pemimpin sebegini sepatutnya dikenakan tindakan kerana membelakangkan kedaulatan undang-undang demi peti undi.
Mahkamah Tinggi Kuantan pada April 2024 mendapati pekebun durian musang king di Raub yang juga plaintiff terlibat adalah penceroboh.
Menurut mahkamah, sebagai pihak yang menceroboh mereka tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.
Mahkamah juga mendapati keputusan pentadbiran tanah Daerah Raub dan keputusan Pengarah Perhutanan Pahang mengeluarkan notis pengusiran kepada pekebun durian adalah menurut Seksen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara 1965.
Lokasi terlibat terletak antara kawasan Sungai Chalit, Sungai Klau, Sungai Ruan dan Tranum dalam Mukim Gali dalam Derah Raub dan kawasan Tras, Mukim Tras Raus.
Kawasan yang terlibat dianggarkan seluas 2,167 hektar.
Dalam kes tersebut seramai 186 pekebun durian telah memohon semakan semula kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang sebelum ini.
Mereka terdiri daripada 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos 2020, manakala bakinya pada 9 September 2020.
Pekebun-pekebun sebelum ini mendakwa mereka menduduki tanah kerajaan berkaitan sejak 1970-an menerusi Rancangan Buku Hijau kerajaan Malaysia.
Tindakan penguatkuasaan bagaimana pun telah diambil kerajaan negeri Pahang pada 2020 sebelum penceroboh membawa kes tersebut ke mahkamah tetapi gagal.
Walaupun industri durian merupakan satu kejayaan dan sumber ekonomi negara tetapi pencerobohan tanah kerajaan untuk dijadikan kebun haram tetap satu kesalahan.-airtimes.my
#cerobohtanah #Pahang #Malaysia #ekonomi #airtimes