LANGKAWI, 15 MAC – Pasukan demostrasi aerobatik Rusia, Russian Knights telah mengadakan lawatan awal bersama dengan pihak Sekretariat Aeroangkasa sebagai persiapan bagi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA 25).
Lawatan ini bertujuan untuk meninjau lokasi pertunjukkan dan persiapan teknikal sebelum acara berprestij itu berlangsung pada 20 hingga 24 Mei tahun ini.
Ketibaan wakil pasukan Russian Knights, yang terdiri daripada juruterbang elit Russian Aerospace Force, disambut oleh Ketua Sekretariat Aeroangkasa LIMA ’25, Mejar Jeneral Norli Hisham Alwi TUDM, bersama wakil penganjur dan agensi kerajaan yang terlibat.
Menurut jurucakap Russian Knights,mereka teruja kembali ke Langkawi selepas sambutan luar biasa pada penyertaan terdahulu.
“Kami menghargai jemputan ini dan berharap dapat memberikan persembahan lebih memukau di LIMA ’25,” kata TUDM dalam satu kenyataan.
Selain meninjau lokasi, mesyuarat koordinasi bersama wakil Russian Knights turut diadakan bagi menyelaraskan keperluan dan persiapan pertunjukan untuk persembahan udara pasukan tersebut semasa LIMA ’25.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Mejar Jeneral Norli Hisham Alwi TUDM, bersama wakil penganjur LIMA ’25 dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat.
Dengan persiapan awal yang rapi, kehadiran Russian Knights dijangka menjadi sorotan utama LIMA ’25, menarik perhatian pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk menyaksikan kehebatan pasukan aerobatik elit ini.
Terdahulu, Russian Knights menggunakan pesawat pejuang Sukhoi SU-27 Flanker dalam LIMA 2023 sebelum beralih kepada Sukhoi Su-30 dalam pertunjukan mereka yang seterusnya.-airtimes.my
#pertahanan #Malaysia #Rusia #LIMA25 #TUDM #airtimes