KUDAT, 15 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan Ops Pagar Laut Siri 1/2025 sebagai usaha memperkukuh kawalan keselamatan di perairan Kudat.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi bersepadu itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan feri yang membawa penumpang ke Pulau Banggi, dengan fokus utama terhadap dokumen peribadi dan muatan yang dibawa.
“Sebanyak tiga aset Maritim Malaysia digerakkan dalam operasi ini, membabitkan seramai 25 anggota Maritim Malaysia dan 12 anggota AADK,” katanya.
Sepanjang operasi yang diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Muhammad Afify Ahamad dari pukul 2.00 petang hingga 5.00 petang semalam, seramai 70 individu telah diperiksa.
Lima daripadanya menjalani ujian saringan air kencing yang dikendalikan oleh pihak AADK, namun tiada sebarang kesalahan dikesan dalam kalangan penumpang dan feri yang diperiksa.
Komander Hasbullah menegaskan bahawa APMM komited untuk memperkukuh operasi penguatkuasaan dan akan terus memperhebat rondaan di perairan Kudat bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan perairan negara sentiasa terjamin.
“Kawalan di perairan akan terus diperketat bagi memastikan komuniti maritim mematuhi peraturan dan menghalang sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan perairan negara,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat untuk tindakan segera.-airtimes.my
#keselamatan #APMM #AADK #Sabah #airtimes