Home Semasa Hina Islam: JAKIM, pihak berkuasa terus bekerjasama bawa kes ke muka pengadilan

Hina Islam: JAKIM, pihak berkuasa terus bekerjasama bawa kes ke muka pengadilan

by Aqilah Azman

PUTRAJAYA, 7 MAC– Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus memastikan kes penghinaan Islam dibawa ke muka pengadilan.

“Mana-mana pihak menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dengan itu, JAKIM terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Agensi di bawah seliaan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kerajaan akan mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja terbabit perbuatan menghina agama tanpa pilih kasih selaras peruntukan undang-undang negara,” ujarnya.

Tegasnya, perbuatan segelintir pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini hingga mencetuskan kegelisahan awam amat dikesali.

“Semua pihak perlu menghormati undang-undang dan proses siasatan sedang dilakukan pihak berkuasa demi kepentingan negara,”

“Seperti mana proses siasatan dan pendakwaan kes penghinaan sebelum ini, ia menunjukkan bahawa kepentingan awam diambil kira bagi menjaga keharmonian negara,” tegasnya lagi.

Mohd Na’im berkata, agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa konsisten memelihara kesucian agama Islam dan menjaga keharmonian dalam konteks kemajmukan masyarakat selaras Perlembagaan Persekutuan. -airtimes.my

#AirTimes #JAKIM #JPM #PDRM #Islam #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?