KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak membuat sebarang pembayaran kepada Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd. (ADSSB) bagi kontrak sewaan Helikopter Black Hawk yang dibatalkan pada awal November 2024 lalu.
Menteri Pertahanan berkata, keputusan untuk membatalkan kontrak bernilai RM187 juta itu dibuat berikutan kegagalan syarikat berkenaan membekalkan helikopter mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Tiada sebarang pembayaran dibuat kepada pihak syarikat dalam tempoh kontrak masih berkuat kuasa memandangkan kegagalan syarikat membekalkan helikopter yang diperlukan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang ingin mengetahui berapa jumlah yang telah dibayar oleh MINDEF kepada Syarikat ADSSB daripada kos siling RM187 juta nilai kontrak sewaan Helikopter Black Hawk sebelum kontrak berkenaan dibatalkan pada awal November 2024 lalu.
Menurut Mohamed Khaled, kontrak perolehan helikopter secara sewaan itu dimeterai antara Kementerian Pertahanan dan ADSSB melalui Surat Setuju Terima (SST) bagi tempoh 5 tahun, bermula 30 April 2023 hingga 29 April 2028.
Bagaimanapun, berdasarkan syarat SST, tarikh akhir pembekalan yang sepatutnya tamat pada 30 Oktober 2024 gagal dipenuhi oleh syarikat terbabit.
“Kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan kontrak ini atas kegagalan syarikat membekalkan helikopter mengikut jadual yang ditetapkan,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Blackhawk #TDM #Mindef #Malaysia