Home Diskusi Kolumnis: Perlu kembalikan ISA sebagai perisai gugat keamanan, keharmonian

Kolumnis: Perlu kembalikan ISA sebagai perisai gugat keamanan, keharmonian

by Zaki Salleh

KES GHINA AGAMA

Sebagai negara berbilang kaum dan kepercayaan, sebarang isu yang berkaitan menghina mana-mana agama adalah sangat merbahaya dan dianggap serius.

Perlembagaan Malaysia memberi kebebasan beragama, tetapi juga menetapkan Islam sebagai agama rasmi, sementara agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.

Kes menghina agama boleh mencetuskan ketegangan sosial dan menggugat keharmonian kaum.

Memburukkan lagi keadaan ialah apabila berada pada era media sosial yang segalanya boleh dikongsi serta disebar luas dalam masa beberapa detik sahaja.

Provokasi dan penghinaan terhadap agama berlaku satu demi satu, lebih ketara membabitkan agama Islam yang mana keadaan ini dilihat membimbangkan.

Media sosial dijadikan platform apabila video tular kecaman dengan kata-kata kesat tersebar selain berlaku cabar mencabar.

Platform media sosial telah disalahgunakan untuk memperlekehkan agama Islam sehingga mencetus polemik dan mewujudkan kekacauan.

Walaupun tindakan undang-undang pernah diambil terhadap pesalah melakukan penghinaan agama, namun isu ini sukar dibendung apabila masih berulang.

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan tersebut.

Bagaimana pun, tanpa undang-undang yang digeruni, pihak berkuasa mungkin menghadapi kesukaran dalam mengekang isu sedemikian apabila berlaku dan akan dilihat lemah.

ISA UNDANG-UNDANG YANG DIGERUNI

Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang pernah berkuatkuasa di Malaysia.

Undang-undang era kolonial yang diperkenalkan British sejak 1948 bagi membendung keganasan komunis, ancaman komunisme serta gerakan berbaur subversif.

Tidak dinafikan salah satu mekanisme perundangan yang berkesan dalam memerangi ancaman subversif semasa pemberontakan komunis adalah ISA.

Sepanjang adanya ISA, undang-undang ini sangat digeruni.

Bagaimana pun, ISA seringkali dikaitkan oleh pihak pembangkang ketika itu sebagai undang-undang yang menyalahi hak asasi manusia dan penyalahgunaan kuasa.

Operasi Lalang pada 1987 misalnya membabitkan penahanan besar-besaran terutama ahli politik pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana didakwa menggugat keamanan.

Lebih 100 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan, manakala lesen beberapa akhbar dibatalkan.

Pemimpin pembangkang dengan desakan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia tahun demi tahun memberi tekanan kepada kerajaan agar ISA dihapuskan.

Pada tahun 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan ISA sebagai sebahagian daripada agenda reformasi politik dan perundangan.

Ini dilakukan untuk menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kebebasan sivil dan memperbaiki imej negara di peringkat antarabangsa

Menggantikan ISA ialah undang-undang lain seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dikatakan lebih terkawal.

Walaupun ISA telah dimansuhkan, perdebatan mengenai sama ada undang-undang penggantinya benar-benar lebih baik atau hanya versi baharu dengan sedikit perubahan kerap disuarakan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan antara individu yang sering bercakap tentang kesan pemansuhan ISA

SINGAPURA KEKALKAN ISA

Jiran seberang tambak, Singapura masih mengekalkan ISA dan menggunakannya untuk menangani ancaman keselamatan seperti keganasan, ekstremisme agama, dan ancaman subversif.

Undang-undang ini membolehkan kerajaan republik itu menahan individu tanpa perbicaraan untuk tempoh tertentu jika didapati mengancam keselamatan negara.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1963, ISA telah digunakan untuk menangani isu keselamatan negara seperti perkauman, komunisme, pengintipan, subversif asing dan keganasan.

Walaupun terdapat desakan memansuhkannya, kerajaan Singapura tetap mempertahankan ISA sebagai undang-undang pencegahan yang relevan dalam menghadapi landskap keselamatan yang semakin berkembang.

Pada awal tahun 2000, ISA di Singapura sering digunakan terhadap kumpulan radikal seperti Jemaah Islamiyah (JI).

Insiden mutakhir ialah pada Februari 2024, apabila seorang remaja 18 tahun ditahan di bawah ISA kerana didapati ingin melakukan serangan terhadap masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Walaupun tindakan tersebut tidak dilakukan, tetapi langkah pencegahan tegas diambil pihak berkuasa.

KEMBALIKAN ISA SEBAGAI PERISAI UNDANG-UNDANG

Dalam situasi berdepan sebarang kemungkinan, kerajaan memerlukan punca kuasa untuk bertindak segera tanpa perlu menunggu proses perbicaraan yang panjang.

Ancaman keselamatan tidak lagi terbatas pada ekstremisme atau berbentuk ketenteraan, malah menggugat keharmonian juga disifatkan sebagai mengancam keselamatan.

Undang-undang seperti ISA membolehkan tindakan pencegahan sebelum sesuatu ancaman berlaku.

Jika ISA yang pernah diguna untuk menangani ancaman komunis, ekstremis agama dan kumpulan yang cuba menggugat kestabilan negara membuktikan keberkesanan, mengapa tidak dikembalikan.

ISA wajar dikembalikan tetapi pada masa sama perlu ada kaedah atau batasan untuk menggunakan undang-undang ini agar ia tidak disalahgunakan untuk kepentingan tertentu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?