KUALA LUMPUR, 12 FEB – Kementerian Pertahanan menjelaskan kerajaan sentiasa komited dalam penghantaran anggota dan pasukan keselamatan, khususnya melibatkan anggota wanita dalam pelbagai misi penting.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyatakan, sehingga 31 Disember 2024 seramai 222 anggota wanita telah berkhidmat di luar negara.
“Mereka terlibat dalam misi kemanusiaan, misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB, latihan bersama negara-negara rakan strategik, serta tugasan diplomatik ketenteraan,” katanya.
Berikutan, seramai 118 anggota wanita terlibat dalam tiga misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa di bawah pelaksanaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu Ops Starlight.
“Seramai 89 anggota wanita iaitu 36 peratus daripada 245 jumlah keseluruhan anggota misi terlibat bagi memberi bantuan perubatan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh,” ujar Adly.
Selain itu, seramai 21 anggota wanita bersamaan 19 peratus daripada 110 penglibatan keseluruhan anggota misi juga terlibat dalam membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.
Manakala, lapan anggota wanita bersamaan 11 peratus daripada 70 peratus bagi penglibatan keseluruhan anggota misi, terlibat dalam misi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk menerima rawatan di Malaysia.
Selanjutnya, seramai 85 anggota wanita turut dihantar bagi penugasan dalam misi pengaman PBB di Lubnan.
Terkini, seramai 9,550 orang merupakan jumlah keseluruhan anggota wanita yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pecahan 6,574 daripada tentera darat, 1,953 anggota tentera laut dan 1,023 anggota tentera udara. -airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #AnggotaWanita #ATM #Malaysia