Home Semasa Kapal MPMS buatan Türkiye aset baharu perkukuh keselamatan maritim Malaysia

Kapal MPMS buatan Türkiye aset baharu perkukuh keselamatan maritim Malaysia

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 12 FEB – Industri pertahanan Turkiye terus mendapat kepercayaan Malaysia apabila syarikat perkapalan negara itu, Desan Shipyard dipilih membina kapal baharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Perolehan sebuah kapal misi pelbagai guna (MPMS) ini antara aset baharu yang telah dirancang kerajaan bagi memperkasakan agensi tersebut.

Desan Shipyard antara limbungan pembinaan kapal ternama Türkiye yang turut menyumbang pada kemajuan industri pertahanan negara itu.

Ketika ini industri pembinaan kapal Turkiye adalah yang kelima terbesar di dunia.

Pemilihan ini menjadikan Desan Shipyard sebagai syarikat perkapalan kedua mendapat kontrak membina kapal bagi pasukan keselamatan Malaysia selepas Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM).

Pada Jun tahun lalu, kerajaan memilih STM bagi membina kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai lebih RM2 bilion.

Tiga kapal LMS berdasarkan rekaan korvet kelas Ada dibina syarikat STM yang mana pemotongan besi kapal pertama telah pun dimulakan.

Sementara itu dalam kenyataannya, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah memberitahu, perolehan MPMS merupakan satu keputusan tepat kerajan Madani dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Bagi pembinaan kapal tersebut, syarikat Desan Shipyard dipilih berdasarkan merit, selain kepakaran dan keupayaan syarikat berkenaan dalam industri pertahanan negara itu yang diiktiraf di peringkat global.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah bersama model kapal MPMS yang akan dibina oleh Desan Shipyard. Foto: Maritim Malaysia

Tegas beliau, perolehan kapal MPMS ini menandakan satu lonjakan besar dalam keupayaan operasi APMM.

“Kapal berteknologi tinggi ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 dan bakal menjadi aset penting dalam mengawal perairan negara.

“Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain dilengkapi aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), serta turut mempunyai helideck, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.

“Kapal berukuran 99 meter panjang serta boleh membawa 70 orang kru dan 30 penumpang ini akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan.

“Ini khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, serta membanteras jenayah rentas sempadan

seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” tambah beliau.

Dengan termeterainya perjanjian ini, Maritim Malaysia optimis hubungan dua hala antara Malaysia-Turkiye dalam sektor pertahanan maritim akan terus diperkukuh, sekali gus memberi manfaat besar kepada keselamatan dan kestabilan perairan negara.

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) bagi perolehan kapal itu dimeterai semalam antara kerajaan Malaysia dan syarikat terbabit semasa lawatan Presiden Recep Tayyip Erdogan ke negara ini.

Ia dimeterai antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman dengan Pengerusi Lembaga Desan

Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoğlu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Erdogan menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut.

Difahamkan, pembinaan kapal yang menelan belanja RM350 juta ini menjadikan ia aset terbesar APMM selepas kapal ronda pesisir (OPV) sedia ada.

Kerajaan pada Oktober tahun lalu mengumumkan sebuah kapal misi pelbagai guna serta 2 kapal ronda generasi baru antara aset akan diperoleh APMM melalui peruntukan Belanjawan 2025. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Keselamatan #MaritimMalaysia #Desan #MPMS #Turkiye

Syarikat Desan Shipyard dipilih berdasarkan merit, selain kepakaran dan keupayaan firma berkenaan dalam industri pertahanan Turkiye untuk bina kapal MPMS Maritim Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?