PUTRAJAYA, 10 FEB – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk terus memperkukuh nilai integriti dalam kalangan pegawai dan anggota, seiring dengan kerajaan yang tidak akan bertolak ansur terhadap amalan rasuah.
“Saya menyeru agar JKDM terus memperkukuh nilai integriti dalam kalangan pegawai kerana matlamat kerajaan ini jelas. Amalan rasuah dan pencabulan terhadap usaha mengangkat darjat negara akan ditangani dengan tindakan tegas, tanpa mengira individu yang terlibat,” tegasnya.
Berikutan, insiden membabitkan enam pegawai JKDM dalam Ops Airways yang terlibat dengan sindiket penyeludupan di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Tidak kira terhadap mana-mana individu sahaja…jangan pernah sesekali kita mencemarkan nama baik jabatan dan meroboh kepercayaan rakyat kepada kita,” kata beliau dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 di sini hari ini.
“Namun, saya cukup yakin dengan keupayaan tinggi pegawai dan anggota JKDM untuk membawa hasil yang lebih memberangsangkan kepada negara serta membanteras jenayah kontraban dengan lebih berkesan,” katanya.
Teks ucapan tersebut dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika majlis tersebut.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kastam atas khidmat dan pengorbanan dalam meningkatkan hasil negara serta menjaga keamanan negara.