Home Semasa TUDM hantar 8 tan bekalan makanan untuk mangsa banjir di Sarawak

TUDM hantar 8 tan bekalan makanan untuk mangsa banjir di Sarawak

by Suraya Aziz

SUBANG, 10 FEB – Sebanyak 2,000 kotak makanan sedia dimakan (Ready to Eat Food, RTEF) hasil sumbangan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) telah dihantar ke Sarawak melalui operasi bantuan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Penghantaran yang berjumlah kira-kira 8 tan ini merupakan sebahagian daripada Misi Bantuan Banjir Sarawak hasil daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Zakat Tabung Haji.

 

Menurut TUDM, bekalan tersebut akan dihantar ke dua lokasi utama iaitu Kuching dan Miri untuk tujuan pengagihan kepada keluarga yang terkesan.

“Penghantaran melalui penerbangan “logistic communication” pesawat C130H dari No 14 Skuadron telah berlepas pada jam 1.00 tengah hari dari Pangkalan Udara Subang.

“Bekalan makanan ini dihantar ke dua tempat di Sarawak iaitu Kuching serta Miri dan akan diagihkan kepada mangsa-mangsa di
kawasan bencana yang terlibat oleh pihak YFBM dan agensi pengurusan bencana negeri,” menurut kenyataan TUDM pada Isnin.

Sebahagian kotak sumbangan berisi bekalan makanan yang diterbangkan ke Sarawak (Foto: TUDM)

Mengulas lanjut, misi penerbangan ini diketuai oleh Mejar Muhammad Syahmin Abd Rahim TUDM selaku juruterbang, dengan bantuan Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin TUDM sebagai pembantu juruterbang serta enam anak kapal lain.

Penerbangan ini turut disertai oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Maritim (CPOM APMM), Leftenan Kolonel Mohd Amir Alias TUDM serta Ketua Pegawai Operasi YFBM, Puteri Fazlieznoor Yahaya bersama dua staf yayasan berkenaan.

Dalam pada itu, TUDM turut menegaskan komitmennya dalam menyokong usaha bantuan bencana melalui kerjasama bersepadu pelbagai pihak.

“Misi ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) dalam membantu negara dan rakyat yang terkesan akibat bencana alam,” ujarnya.

 

Untuk rekod, baru-baru ini, Sarawak mengalami banjir yang menjejaskan beberapa kawasan di negeri tersebut. Malah, pada 1 Februari 2025, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 12,486 orang dan menyebabkan sebahagian besar keluarga di kawasan berisiko tinggi terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Walau bagaimanapun, menjelang 10 Februari 2025 (hari ini), keadaan banjir menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Jumlah mangsa yang terjejas menurun kepada 1,534 orang daripada 460 keluarga, dengan 14 PPS masih aktif menampung mangsa banjir. -airtimes.my

#TUDM #Bekalanmakanan #Banjir #Sarawak #AirTimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?