KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER– Kerajaan kini mempertimbangkan penubuhan lebih banyak Mahkamah Khas Kanak-Kanak di seluruh negara bagi mempercepatkan perbicaraan kes jenayah terhadap kanak-kanak.
Usaha ini termasuk memperluaskan lagi penubuhan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak sebagai salah satu usaha bagi mengekang berulangnya kes penderaan dan eksploitasi seperti GISB Holdings (GISBH) dan Abang Bas dalam TikTok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mahkamah khas ini direka untuk memastikan keadilan segera dapat dicapai oleh mangsa kanak-kanak, dengan pendekatan perbicaraan yang lebih mesra dan sensitif terhadap trauma mereka.
“Mahkamah ini akan mempercepatkan tindakan undang-undang terhadap pesalah, memastikan keadilan dilaksanakan tanpa berlengah, serta mengurangkan tekanan psikologi yang dialami oleh mangsa kanak-kanak sepanjang proses perbicaraan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, pada Rabu.
Selain penubuhan mahkamah khas, kerajaan turut memperkukuh peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan melatih lebih ramai pegawai bagi mengenal pasti tanda-tanda awal penderaan, khususnya di institusi seperti rumah perlindungan dan sekolah.
Dalam usaha ini juga, kerajaan bercadang untuk meminda Akta Kanak-Kanak 2001 dengan memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih tegas, memperkuat pemantauan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta memperluaskan program pendidikan keselamatan diri di sekolah.
Pindaan kepada sedia ada itu antara lain bertujuan untuk menutup sebarang kelemahan undang-undang sekaligus memastikan perlindungan lebih luas bagi kanak-kanak daripada pelbagai bentuk penderaan, termasuk yang berkaitan dengan teknologi dan dunia siber.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pasukan keselamatan siber akan meningkatkan pengawasan terhadap penyebaran bahan pornografi kanak-kanak di internet dan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah,” tambahnya lagi.
Selain itu, peruntukan berkaitan hukuman juga akan diperketatkan, terutamanya terhadap penjaga yang bertanggungjawab atas pengabaian atau penderaan fizikal, emosi, atau seksual terhadap kanak-kanak.
Saifuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew, yang meminta kementerian menyatakan pelan bagi meningkatkan penguatkuasaan Akta Kanak-Kanak 2001 agar kes-kes seperti GISBH dan Abang Bas di TikTok tidak berulang.- airtimes.my
#Keselamatan #Jenayah #MahkamahKhas #BawahUmur #AirTimes