KUALA LUMPUR, 8 Dis – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara rasmi memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian untuk Industri Komunikasi dan Multimedia (INSG) bagi meningkatkan keselamatan maklumat, rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
Menurut SKMM, INSG ini berfungsi sebagai satu kerangka amalan terbaik dan tidak mandatori buat ketika ini.
“Namun demikian SKMM menggalakkan pihak industri mengguna pakai amalan terbaik ini di dalam pengoperasian mereka sebagai sebahagian daripada langkah-langkah proaktif mereka dalam memperkukuh keselamatan siber bagi industri komunikasi dan multimedia,
“Pendekatan ini memberi ruang kepada Penyedia Perkhidmatan untuk menyesuaikan diri dengan garis panduan itu dan memberikan maklum balas penambahbaikan,” jelas SKMM dalam kenyataan, pada Ahad.
SKMM menjelaskan, INSG bukan bertujuan untuk menambah peraturan baharu, sebaliknya ia bertujuan meningkatkan keupayaan dan ketersediaan Penyedia Perkhidmatan untuk mengurus risiko siber, mengurangkan kebocoran data, meminimumkan gangguan melalui pengukuhan infrastruktur serta melindungi pengguna-pengguna daripada ancaman dalam talian.
Tambahnya, semasa fasa pembangunan INSG, SKMM telah secara aktif melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk firma keselamatan siber, perunding keselamatan, pemegang lesen penyedia termasuk pusat data,
“Selain itu turut terlibat, penyedia perkhidmatan awan, kementerian, agensi kerajaan, badan kawal selia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan forum di bawah SKMM,
“Maklum balas, cadangan dan pandangan yang diberikan telah dinilai dengan teliti dan jika sesuai, ia diserapkan ke dalam INSG. Pendekatan inklusif dan telus ini mencerminkan komitmen SKMM untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan dalam pengurusan keselamatan siber dipatuhi,” tambah kenyataan itu.
SKMM berpandangan bahawa INSG merupakan satu langkah penting dalam melindungi ekosistem digital Malaysia, memastikan infrastruktur rangkaian yang selamat dan berdaya tahan untuk semua.
“Ia mencerminkan usaha berterusan SKMM untuk menangani cabaran landskap siber yang semakin kompleks sambil memupuk kepercayaan dan keselamatan dalam persekitaran digital negara,
“Untuk maklumat lanjut mengenai garis panduan ini, sila lawati https://www.mcmc.gov.my,” menurut kenyataan itu lagi.-airtimes.my
#semasa #SKMM #digital #Malaysia #komunikasi #airtimes
