Home Pertahanan dan KeselamatanPLKN 3.0: Direka sesuai keperluan negara, bukan mengikut model negara bergolak

PLKN 3.0: Direka sesuai keperluan negara, bukan mengikut model negara bergolak

by Nurulhuda
A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 7 Dis – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal dilaksanakan secara berperingkat bulan depan tidak mengikuti acuan ketenteraan negara-negara seperti Korea Selatan dan Korea Utara, yang mempunyai program seumpama itu disebabkan oleh ancaman ketenteraan yang nyata.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia tidak menghadapi ancaman serupa yang wujud di negara-negara berkenaan, sebaliknya PLKN 3.0 direka khas untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan latar belakang.

“Kita harus faham bahawa kita jangan jadikan asas acuan (PLKN berdasarkan) khidmat negara di negara lain. Sesetengah negara ada program ini kerana ada ancaman contohnya di Korea Selatan dan Korea Utara,

“Kita tidak ada ancaman sebegitu tetapi kita ada cabaran dari segi kita nak pupuk negara yang masyarakatnya majmuk, jadi kita ikut cara kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS),  hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan terhadap model baharu PLKN yang tidak sepenuhnya berasaskan ketenteraan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, Malaysia mengadakan PLKN bagi memupuk perpaduan dalam masyarakatnya yang majmuk. – Foto: Airtimes/Danish

Tegasnya, Malaysia mengadakan PLKN dengan tujuan untuk mengeratkan perpaduan antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya, serta memberi fokus kepada pembangunan disiplin, kepimpinan, dan kefahaman sejarah negara dalam kalangan pelatih.

PLKN 3.0 fokus pada perpaduan dan pembangunan rakyat

Mohamed Khaled juga menegaskan bahawa PLKN 3.0 berbeza dari segi pendekatan, kerana ia lebih menekankan kepada pembangunan sosial dan perpaduan, berbanding program ketenteraan yang difokuskan oleh negara-negara lain yang berhadapan dengan ancaman ketenteraan secara langsung.

“Kita mengikut cara kita sendiri. Cabaran kita adalah untuk membina negara yang bersatu padu, bukan untuk menghadapi ancaman ketenteraan,

“Oleh itu, PLKN di Malaysia lebih menumpukan kepada aspek perpaduan dan pembangunan semangat patriotisme,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menegaskan bahawa program ini adalah salah satu pendekatan untuk mencapai pertahanan menyeluruh yang melibatkan sumbangan aktif rakyat dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara.

“Rakyat perlu menyumbang kepada keadaan negara di mana rakyatnya dapat hidup dalam keadaan menghormati antara satu sama lain,” ujarnya lagi.-airtimes.my

#PLKN #Malaysia #Khaled #airtimes #ATM

Related Articles

Leave a Reply