KOTA TINGGI, 7 Dis – Seramai 645 Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menamatkan Kursus Asas Tentera Laut (KATL) di Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI), Tanjung Pengelih, hari ini.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun berkata, kesemua perajurit yang terlibat terdiri daripada 586 lelaki dan 59 wanita, telah menjalani latihan intensif selama 6 bulan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan, seluruh rakyat Malaysia meletakkan setinggi harapan dan sepenuh keyakinan selaku perwira yang sedia berkorban untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
“Kerana cabaran inilah yang mendewasakan kita, saya juga berharap anda semua terus bersemangat berpasukan atau bersama rakan sepejuangan yang telah dibina selama ini demi kecemerlangan dan kesejahteraan di masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Siri 227/24.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan kepada semua perajurit agar kekal menggalas amanah dan sentia sabertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara serta cabaran yang akan ditempuhi, pada masa akan datang.
“Jangan toleh ke belakang lagi, kuatkan tekad dan sempurnakan sumpah janji walaupun nyawa sebagai galang ganti,” tegasnya lagi.
Mohamad Azuwan turut berharap perajurit TLDM berpegang teguh 4 nilai Teras TLDM agar mereka terus menjadi The Navy People yang terampil dan berdisiplin untuk mencapai visi TLDM iaitu untuk menjadi sebuah ‘angkatan laut yang kredibel’ suatu hari nanti.
Pada majlis itu, Laskar Muda Ammar Najmuddin Abdullah telah dinobatkan sebagai Perajurit Muda TLDM terbaik keseluruhan lelaki dan Laskar Muda Mel C Jane Casmil sebagai Perajurit Muda TLDM terbaik keseluruhan wanita bagi siri 227/24.-airtimes.my
#pertahanan #TLDM #tamatlatihan #KDSI #KATL #airtimes