Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia perlu sentiasa berwaspada walaupun berkecuali – Khaled

Malaysia perlu sentiasa berwaspada walaupun berkecuali – Khaled

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 7 Dis – Malaysia tidak boleh berasa terlalu selesa dengan pendirian neutral yang diamalkannya, memandangkan landskap geopolitik global yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, walaupun negara mengamalkan dasar berkecuali dan pendekatan ‘middle power’ untuk kekal berkawan dengan semua pihak, kesan daripada konflik global tetap akan dirasai, termasuk dalam aspek keselamatan dan ekonomi.

“Mungkin kita (Malaysia) bersikap neutral tak buat apa-apa, misalnya Korea Selatan dan Korea Utara berperang dan sebagainya, maka tentunya akan menjejaskan kita punya supply chain dan sebagainya,

“Kita banyak barang juga kita buat tempahan dengan Korea, antaranya kita membuat tempahan untuk perolehan pesawat syarikat Korea Aerospace Industries (KAI), kalau mereka perang, kita tak dapat ataupun lewat kita terima,

“Itu untuk pertahanan, belum termasuk untuk lain-lain komponen, supply chain,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peningkatan penentangan kuasa-kuasa besar dunia boleh mengheret dan seterusnya menjejaskan negara. Foto: Airtimes/N.Huda

Beliau juga menekankan bahawa dalam dunia tanpa sempadan, setiap konflik mempunyai implikasi meluas yang boleh menggugat kestabilan negara, termasuk dalam isu perdagangan dan bekalan strategik.

“Konflik antara kuasa besar ini, walaupun jauh dari sempadan kita, boleh mengheret negara ke dalam kesan buruk, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun ujarnya, negara akan terus mengambil pendirian berkecuali dan neutral, pada masa yang sama berharap tidak akan berlaku mana-mana konflik dalam wilayah dalam dunia hari ini.

“Kita pastikan ia kekal menjadi pegangan dan pendirian negara tetapi negara lain juga menghormati dan tidak mendesak Malaysia untuk tidak menjadi negara yang berkawan dengan semua,” jelas Menteri Pertahanan.

Diplomasi Pertahanan: Jalan Tengah Malaysia

Dalam masa yang sama, Mohamed Khaled menjelaskan, diplomasi kekal sebagai pendekatan utama Malaysia dalam memastikan kestabilan dan keamanan.

“Diplomasi penting ketika kita berhadapan dengan cabaran Laut China Selatan, kita akan terus kekal menggunakan diplomasi pertahanan dalam kita berhadapan dengan cabaran bukan sahaja dalam isu laut China Selatan, tetapi soal pertahanan bagi negara kita,

“Dalam konteks itu, perhubungan yang baik, rapat yang kita akan jalinkan sama ada melalui penyertaan negara-negara lain dalam kursus-kursus yang kita tawarkan, ataupun dalam latihan bilateral, multilateral termasuklah eksesais bersama,

Menurut beliau, pendekatan neutral ini bertujuan memastikan Malaysia dihormati sebagai sebuah negara yang mengutamakan keamanan dan kestabilan global.

Peringatan kepada pemimpin masa depan

Mohamed Khaled turut menyeru pemimpin masa depan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memahami perubahan dunia dan menyesuaikan pendekatan mereka.

“Mereka perlu faham bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali perlu terus memastikan ia kekal dihormati, sambil bersiap sedia menghadapi cabaran baharu dengan strategi dan doktrin yang relevan,” katanya.

Terdahaulu, Menteri Pertahanan telah menyempurnakan majlis graduasi yang melibatkan seramai 270 orang Pegawai Angkatan Tentera (Darat, Laut dan Udara) termasuk Pegawai Angkatan Tentera Negara Asing serta Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) daripada kementerian dan agensi kerajaan.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #keselamatan #Khaled #ATM #PUSPAHANAS #Malaysia

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!