KOTA TINGGI, 8 Dis – Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan meningkatkan langkah keselamatan kadet termasuk melakukan panggilan nama atau ‘roll call’ secara lebih kerap.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut dilakukan bagi memastikan insiden buli dan penderaan tidak berlaku di institusi pengajian berkenaan.
“Di akademi ini mereka bergaul antara pelajar tahun satu, dua, tiga, empat, dan di sinilah insiden-insiden itu biasanya berlaku, selama tiga hingga empat tahun mereka bersama dan mereka tahu siapa senior dan junior,
“Jadi kita akan kerap buat roll call, pasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya. Kalau berlaku apa-apa insiden seperti gaduh, maka selalulah ada roll call mungkin 10 malam atau 2 pagi, jadi di situlah kita akan tahu, dan ia bergantung kepada keadaan,” katanya seperti dilpaor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Pemindahan Ilmu Lestari, Pengukuhan Ekonomi dan Pemerkasaan Ilmu Penduduk di Felda Bukit Aping di Dewan Serbaguna Felda Bukit Aping Timur, hari ini.
Pada 3 Disember lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya budaya penderaan di UPNM perlu dihentikan serta-merta.
Sultan Ibrahim dalam titah sulung selaku Canselor UPNM dilaporkan meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
Sebelum itu pada 27 November media melaporkan Majlis Angkatan Tentera (MAT) bersetuju menamatkan pengajian 5 pegawai kadet dari UPNM yang terbabit dalam 3 kes buli di universiti berkenaan.
Pegawai kadet terbabit juga diwajibkan membayar pampasan kepada kerajaan berdasarkan jumlah perbelanjaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh pengajian mereka.
Sebelum ini beberapa siri insiden buli dilaporkan berlaku di UPNM, termasuk kes tragis membabitkan kematian seorang kadet dengan kesan kecederaan 90 tekapan seterika wap dikesan di seluruh anggota badan.
Sementara itu Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pihak kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang insiden buli di UPNM, dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Kita sebenarnya ada peraturan, mereka yang melindungi atau menutup apa-apa insiden yang dianggap buli atau penderaan, ia dianggap sebagai satu kesalahan,
“Yang penting adalah kita ingin sedarkan bahawa kita tidak akan berkompromi dari segi apa-apa perlakuan buli dan penderaan, dan kita akan mengambil tindakan tegas serta menghebahkan hukuman yang diberi. Jadi ini antara tindakan yang kita akan buat,” tambahnya.-airtimes.my
#pertahanan #buli #ALK #UPNM #Khaled #airtimes