Dengan landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks, masa depan industri pertahanan Malaysia antara yang menjadi topik penting dalam menuntut inovasi teknologi dan peningkatan kerjasama strategik untuk memastikan kedaulatan negara dan kestabilan rantau Asia Tenggara dalam keadaan baik.
Kerajaan Malaysia kini menggariskan beberapa inisiatif utama untuk memperkukuh sektor ini, termasuk meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menggalakkan penglibatan sektor swasta dan antarabangsa. Malaysia juga berhasrat untuk menjadi hab serantau dalam teknologi pertahanan dengan menarik minat pelabur asing yang ingin membina asas teknologi dan kemudahan pembuatan di negara ini.
Menurut laporan dari Kementerian Pertahanan, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan teknologi tempatan, termasuk dalam bidang siber, dron, dan kecerdasan buatan (AI) untuk keperluan ketenteraan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penggunaan teknologi AI dalam ketenteraan perlu ada dalam ketiga-tiga cabang ATM dan ia mesti dibantu oleh pengguna di akar umbi. Kita juga perlu mempertimbangkan kapasiti untuk membangunkan teknologi AI dalam negara,”.
Walau bagaimanapun, Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam merealisasikan visi ini. Di samping kekurangan kepakaran teknologi dalam beberapa bidang, negara juga perlu berdepan dengan persaingan dari negara-negara jiran yang turut berlumba-lumba untuk menjadi hab pertahanan di Asia.
Faktor kekangan kewangan juga dilihat sebagai salah satu cabaran terbesar dalam merealisasikan keperluan peralatan dan teknologi moden yang selari dengan standard antarabangsa.
Industri pertahanan Malaysia berdepan dengan cabaran besar berkaitan aset-aset ketenteraan yang sudah lama digunakan dan mula mencapai tahap usang. Pelbagai platform utama, termasuk kapal perang, pesawat, dan kenderaan perisai, sudah lama berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perlu diperbaharui untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan operasi pertahanan negara.
Memandangkan risiko keselamatan siber dan ancaman yang semakin kompleks, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kemahiran modal insan dalam bidang pertahanan.
Pelaburan dalam latihan teknikal dan kerjasama dengan universiti dan pusat penyelidikan akan memainkan peranan penting dalam memastikan sektor pertahanan Malaysia terus berkembang.
Usaha ini juga akan menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk terlibat dalam industri pertahanan dan keselamatan negara. -airtimes.my
#airtimes #IndustriPertahananMalaysia #KeselamatanNasional #TeknologiPertahanan #KDN
