WASHINGTON, 4 NOV – Pesawat pengebom B-52 Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah tiba di rantau Timur Tengah.
Menurut kenyataan pihak Markas Pemerintahan Tengah Amerika Syarikat (USCENTCOM), pesawat pengebom B-52 Stratofortress dari Skuadron Pengebom ke-5 yang berpengkalan di Pangkalan Udara Minot kini telah tiba di kawasan operasi yang meliputi Timur Tengah dan kawasan sekitarnya.
Penghantaran ini merupakan sebahagian daripada penempatan aset ketenteraan tambahan, termasuk pesawat pejuang, pesawat tangki, serta kapal pemusnah pertahanan peluru berpandu balistik yang diumumkan pada Jumaat lalu.
Kehadiran pesawat pengebom strategik itu dilihat sebagai isyarat amaran AS kepada Iran.
Jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder menegaskan bahawa langkah ini bertujuan untuk mempertahankan kepentingan dan rakyat Amerika di rantau tersebut.
“Sekiranya Iran atau proksi-proksinya mengambil kesempatan ini untuk menyerang anggota tentera atau kepentingan Amerika, kami akan mengambil segala langkah perlu untuk melindungi mereka,” katanya semasa mengumumkan atur gerak beberapa aset tentera Amerika Syarikat ke Timur Tengah.
Rantau Asia Barat pada ketika ini berhadapan situasi tegang di mana Israel dan Iran saling berbalas serangan semenjak April lalu.
Pada akhir Oktober lalu, Israel telah melancarkan serangan udara terhad terhadap Tehran.
Iran pada ketika ini berikrar untuk membalas serangan terhadap Israel.
Negara Teluk itu sebelum ini telah melancarkan serangan pada April selepas kedutaannya di Damsyik telah dibom oleh Israel.
Pada awal Oktober, Iran melancarkan serangan kedua sebagai tindak balas terhadap beberapa pemimpin menentang Israel. – airtimes.my
#AirTimes #Iran #B52 #USAF
