KUALA LUMPUR, 4 NOV – Tentera Israel dilaporkan telah melancarkan serangan darat ke Syria.
Serangan itu merupakan kali pertama dilakukan oleh Tel Aviv ketika situasi geopolitik serantau di Timur Tengah mengalami ketegangan teruk semenjak tahun lalu.
Operasi serangan tersebut disahkan oleh pihak Israel dalam satu kenyataan yang menyatakan ia bermatlamat untuk menahan seorang individu yang mempunyai kaitan dengan Iran.
Pendedahan itu sekali gus menunjukkan Israel telah mengatur gerak anggota pasukan khusus mereka ke dalam negara Arab.
“Ketika operasi serangan khas dilakukan dalam Syria, anggota tentera dari Unit Egoz telah berjaya menahan seorang operatif Iran,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, operasi ini turut melibatkan anggota perisikan dari Unit 504 dan Division 210.
Unit Egoz atau dikenali sebagai Unit 621 merupakan pasukan khusus Israel yang merupakan sebahagian daripada 89 Briged (briged komando).
Kenyataan itu tidak menjelaskan bila dan lokasi operasi tersebut dilancarkan.
Individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan Iran dikenali sebagai Ali Soleiman al-Assi. Menurutnya, warga Syria itu telah ditahan dibawa masuk ke Israel untuk di soal siasat.
Tentera Israel menjelaskan Ali berasal dari Saida, berhampiran Daraa (Daraya), selatan Syria.
Kenyataan itu turut mendakwa warga Syria terbabit telah mendedahkan operasi tentera Iran dan kumpulan bersenjata berkaitan di kawasan berhampiran Bukit Golan.
“Penahanan Ali telah berjaya menghalang sebarang serangan dari arah Bukit Golan,” kata tentera Israel.
Pendedahan ini sekaligus merupakan kali kedua dilakukan oleh Israel semenjak operasi di Baytoun pada Jumaat.
Namun begitu, operasi di bandar pesisir Lubnan itu tidak menjelaskan secara spesifik unit terlibat kecuali dinyatakan sebagai komando tentera laut. – airtimes.my
#AirTimes #global #Syria
