BEIRUT, 6 OKT – Bakal pemimpin Hezbollah, Hashem Safieddine dikhuatiri maut selepas terputus hubungan dengan kumpulan itu.
Hashem dilaporkan telah terputus hubungan dengan Hezbollah semenjak Jumaat lalu, selepas Israel melancarkan serangan udara di kawasan kejiranan Dahiyeh, Beirut.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Al Jazeera dalam satu laporan mereka yang memetik sumber keselamatan Lubnan.
“Hashem dilaporkan berada dalam ibu pejabat perisikan yang terletak di bawah tanah pada ketika serangan udara Israel berlaku,” lapor Al Jazeera.
Hashem merupakan sepupu kepada Setiausaha Agung ke-3 Hezbollah, Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan udara di Beirut pada akhir September lalu.
Nama Hashem menjadi perhatian selepas Hezbollah cuba mencari pengganti pemimpin utama mereka di samping kehilangan sejumlah besar individu berprofil tinggi dalam serangan terhadap ibu pejabat Hezbollah pada 27 September 2024.
Serangan pada hari Jumaat akhir bulan lalu turut meragut nyawa Komander Barisan Hadapan Selatan Lubnan, Ali Karaki; dan Komander Quds Force merangkap Timbalan Komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Brigedier Jeneral Abbas Nilforoushan.
Turut terbunuh adalah beberapa pemimpin tinggi Hezbollah yang lain.
Serangan 27 September itu telah membawa kepada tindak balas Iran yang melancarkan sekurang-kurangnya 181 misil terhadap Israel pada 1 Oktober melalui Operation True Promise II.
Dalam pada itu, Hezbollah menegaskan sebarang maklumat mengenai nasib pemimpin mereka selepas serangan 4 Oktober itu adalah sekadar ‘khabar angin’ dan tidak tepat. – airtimes.my
#AirTimes #Lubnan #Beirut