KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd J. Austin III telah mengarahkan sebuah lagi kapal pengangkut pesawat (kapal induk) ke kawasan Timur Tengah.
“Setiausaha (Pertahanan) Austin telah mengarahkan kapal induk USS ABRAHAM LINCOLN yang dilengkapi dengan jet pejuang F-35C untuk mempercepatkan pelayaran ke Timur Tengah,” kata Setiausaha Akhbar Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kehadiran USS ABRAHAM LINCOLN akan mempertingkatkan keupayaan yang sedia ada di kawasan tanggngjawab Pusat Pemerintahan Tengah (US Central Command, US CENTCOM) Amerika Syarikat.
Kawasan tanggungjawab US CENTCOM merangkumi kawasan Timur Tengah, Asia Tengah dan Asia Selatan.
Selain daripada itu, Austin turut mengarahkan kapal selam USS GEORGIA untuk menuju ke lokasi yang sama.
Perkara tersebut dinyatakan oleh beliau semasa berhubung dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.
Sebelum ini, Washington telah mengerahkan kapal induk USS THEODORE ROOSEVELT ke rantau Timur Tengah berikutan ketegangan berlaku di antara Iran dan Israel selepas insiden pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran.
Penghantaran kapal induk USS THEODORE ROOSEVELT merupakan salah satu daripada langkah berjaga-jaga yang dilakukan oleh Washington bagi menghadapi sebarang kemungkinan perang di Timur Tengah.
Ketegangan memuncak apabila Iran menyuarakan hasrat mereka untuk melancarkan serangan terhadap Israel yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan pemimpin Hamas pada 31 Julai lalu. – airtimes.my
#AirTimes #AsiaBarat #TimurTengah #Global