TEHRAN, 12 OGOS – Iran berikrar untuk memastikan Israel akan menerima padah dan menjanjikan “tindak balas hukuman berat akan tiba dalam masa terdekat”.
Perkara tersebut dinyatakan oleh salah seorang pemimpin tinggi tentera Iran, Jeneral Ali Shadmani.
Menurut beliau, Tel Aviv akan menerima padah yang lebih besar dari Iran selepas pembunuhan pemimpin tinggi Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran pada akhir Julai lalu.
“Pihak Israel telah melepasi garisan merah dan berulang kali melanggar moral serta hak asasi kemanusiaan,” katanya dalam laporan media Iran.
Pada ketika ini, situasi di Timur Tengah menjadi tegang apabila pemimpin tinggi Hamas, Ismail Haniyeh terkorban dalam satu serangan di Tehran. Beliau dibunuh dalam satu serangan dipercayai menggunakan misil.
Serangan tersebut telah dilancarkan ketika Ismail Haniyeh telah pulang dari majlis rasmi dengan pemimpin tinggi Iran pada 31 Julai lalu.
Turut terkorban dalam serangan itu ialah pengawal peribadi beliau, Wasim Abu Shaaban.
Pembunuhan Ismail Haniyeh telah mengejutkan masyarakat antarabangsa yang bimbang keadaan di Timur Tengah akan terus memburuk.
Semenjak awal Ogos lalu, Iran melalui pemimpin tingginya telah menyuarakan janji mereka untuk membalas dendam dan menuntut bela atas pembunuhan Ismail Haniyeh.
Walaupun tiada sebarang serangan besar-besaran seperti pada April direkodkan sehingga hari ini, pelbagai pihak sedang berusaha untuk ‘menenangkan’ Iran dari melakukan sebarang tindak balas. Ini kerana sekiranya berlaku serangan balas dari Tehran terhadap Tel Aviv, konflik di Timur Tengah akan merebak dan menjadi peperangan serantau. – airtimes.my
#AirTimes #Global #Iran