MOSKOW, 12 OGOS – Tentera Udara Rusia (RuAF) dilaporkan telah menerima jet pejuang Su-30SM2 baharu.
Penyerahan jet pejuang tersebut telah disahkan oleh pihak pengeluar, Russian United Aircraft Corporation (UAC) dalam satu kenyataan.
“Kesemua pesawat telah melepasi ujian yang diperlukan sebelum diserahkan kepada Kementerian pertahanan Rusia,
“Penyerahan ini adalah tepat pada masanya dalam memenuhi rancangan pengeluaran jet pejuang baharu untuk Rusia,” kata kenyataan itu.
UAC menyatakan jet pejuang itu dihasilkan oleh Irkutsk. Namun, kenyataan itu tidak memberikan perincian jumlah Su-30SM2 yang diserahkan kepada kerajaan Rusia.
Selain daripada itu, Su-30SM2 berbeza dengan model sebelumnya, Su-30SM dari segi komponen. Pengeluaran jet pejuang baharu itu menggunakan komponen dari dalam Rusia.
Malah, Su-30SM2 dilaporkan mempunyai peralatan elektronik baharu.
“Jarak pengesanan dan mengenal pasti sasaran udara telah ditingkat upaya (berbanding model terdahulu),
“Jet pejuang Su-30SM2 akan dilengkapi dengan sistem persenjataan yang baharu bagi menggempur sasaran udara, darat dan laut pada jarak ratusan kilometer,” kata pihak UAC.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan Rusia telah meterai kontrak perolehan Su-30SM2 pada tahun 2019. Pada ketika itu, Su30SM2 diberikan designasi M1. Melalui kontrak ini, jet pejuang terbaharu itu akan menggunakan radar N035 Irbis.
Selain itu, ia akan dilengkapi dengan enjin AL-41F1S, seperti mana yang digunakan pada Su-35S.
Moskow turut merancang untuk tingkat upaya Su-30SM yang sedia ada ke standard Su-30SM2.
Kontrak modenisasi 21 buah Su-30SM2 telah dimeterai pada tahun 2020. – airtimes.my
#teknologipertahanan #rusia #su30sm2