Dunia Eropah sejak minggu lalu dikejutkan dengan insiden rusuhan yang tercetus disebabkan protes anti-imigran di bandar- bandar besar seluruh Britain.
Rusuhan yang mencetuskan serangan didalangi kumpulan sayap kanan ke atas hotel yang menempatkan pencari suaka, serangan ke atas masjid dan kelompok imigran.
Semuanya bermula di Southport dengan insiden pembunuhan tiga kanak-kanak kulit putih sebelum berita palsu pelaku kejadian disebarkan.
Bermula dengan kecaman ke atas penduduk Islam ia bertukar kepada anti imigran.
Sehari kemudian ribuan berkumpul berhampiran Downing Street di tengah kota London sebelum bertukar kecoh melibatkan pertempuran dengan polis.
Sejak itu terdapat siri rusuhan tercetus di tempat-tempat lain. Kenderaan polis turut dibakar.
Kebanyakan protes melibatkan beberapa ratus orang menyasarkan imigran, penduduk Islam dan mereka yang bukan berkulit putih. Kedai-kedai termasuk perniagaan milik Asia, telah dirosakkan.
Ketika ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Keir Starmer terus bergelut untuk memadamkan api rusuhan yang dilihat membakar umpama bara.
Banyak ulasan dibuat pelbagai media antarabangsa mengenai rusuhan di Britain ini dengan fokusnya pada isu imigran.
Britain telah lama menjadi destinasi bagi pendatang yang mencari peluang baharu untuk bekerja atau belajar, termasuk yang datang bersama ahli keluarga.
Walaupun kedatangan imigran di kawal melalui Undang-undang Imigresen sejak 1945, namun perlahan-lahan jumlah kemasukan warga asing meningkat termasuk boleh mendapatkan kerakyatan.
Kedatangan imigran paling tinggi dari Republik Ireland dan bekas Empayar British, terutamanya India, Bangladesh, Pakistan, Karibbean, Afrika Selatan, Nigeria, Ghana, Kenya dan Hong Kong.
Lewat dekad lalu, isu pendatang asing tiada dokumen diri mula diperdebatkan dengan jumlah tertinggi dari Asia (52%) diikuti Afrika Sub-Sahara (20%), Amerika dan Eropah bukan EU (16%) dan Timur Tengah / Afrika Utara (11%).
Apa yang berlaku di Britain membuka isu sama di negara seperti Kanada, Australia dan New Zealand apabila timbul kebimbangan berlaku situasi sama.
Kanada misalnya menjadi lubuk kebanjiran warga asing termasuk pelajar antarabangsa khususnya dari India sehingga mencecah ribuan orang setahun.
Kedatangan pelajar antarabangsa ini mula dipersoalkan dengan penipuan dan taktik memperdagangkan akademik.
Isu warga asing di Malaysia
Apa yang berlaku di Britain kini mula diperkatakan oleh banyak negara khususnya yang terkait dengan kedatangan warga asing termasuk pendatang haram.
Sepertimana negara-negara yang mempunyai prospek ekonomi baik, Malaysia tidak terkecuali apabila sejak empat dekad lalu mula menarik kedatangan warga asing.
Secara amnya, warga asing mempunyai dua kategori iaitu mereka yang mempunyai permit kerja masuk secara sah ke negara ini manakala yang kedua tidak mempunyai sebarang dokumen atau pendatang haram.
Kelompok mempunyai dokumen masuk secara sah sebagai pekerja dengan permit seperti pekerja ladang serta diberi pelbagai faedah pekerjaan.
Mereka yang masuk secara haram tiada dokumen perjalanan atau permit kerja. Kehadiran kelompok ini adalah salah di sisi undang-undang negara.
Bagaimana, kebelakangan ini isu tentang kebanjiran warga asing sama ada yang mempunyai permit kerja dan pendatang haram mula dipersoalkan rakyat.
Ini kerana kebanjiran mereka perlahan-lahan telah mewujudkan koloni warga asing sehinggalah pada peringkat mengusai perniagaan setempat secara haram.
Bukan sedikit daripada mereka berani melanggar undang-undang kecil berniaga termasuk didalangi rakyat tempatan.
Hari ini tidak menjadi asing melihat kedai-kedai dikendalikan warga asing termasuk di lokasi tumpuan pelancong.
Lambakan pekerja asing juga menimbulkan persoalan sejauh mana mereka ini benar-benar mengisi sektor pekerjaan yang diperlukan.
Begitu juga kemasukan warga asing secara haram termasuk pelarian dan pencari suaka dibimbangi menyebabkan negara ini menjadi tempat lambakan warga asing.
Jika tidak dikawal, kemasukan mereka boleh menimbulkan isu keselamatan dan jenayah seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Isu menangani warga asing ini juga bukan baharu kerana 10 tahun lalu, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail menyarankan kerajaan perlu berpendirian tegas dalam mengendalikan isu itu termasuk yang berada di Sabah.
Pada beliau, pendatang asing tidak harus dibenarkan datang ke negara ini dan keluar sesuka hati memandangkan undang-undang negara ini mesti dihormati. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Kolumnis
Apa yang berlaku di Britain kini mula diperkatakan oleh banyak negara khususnya yang terkait dengan kedatangan warga asing termasuk pendatang haram.
#AirTimes #Malaysia #Kolumnis