KUALA LUMPUR, 20 Mac – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengantung operasi penerbangan beberapa model pesawat Blackshape di ruang udara negara.
Penggantungan operasi penerbangan pesawat tersebut dilaksanakan serta-merta mulai hari ini.
Pihak CAAM dalam satu kenyataan berkata, ia melibatkan pesawat Blackshape model BS 115, BK 160, BK 60-200 dan BK 160TR.
“Penggantungan ini selaras dengan Emergency Airworthiness Directive (EAD) yang dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA),” kata kenyataan itu.
Menurutnya, pihak EASA telah menerbitkan EAD berkaitan Blackshape berikutan nahas udara melibatkan pesawat terbabit baru-baru ini.
Negara sebelum ini dikejutkan dengan nahas pesawat Blackshape BK 160TR yang berlaku di Kapar, Selangor pada 13 Februari lalu.
Laporan siasatan awal oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mendapati berlakunya penyelenggaraan yang tidak teratur dan berat melebihi had, yang direkodkan dalam penilaian kerosakan.
Laporan setebal 58 muka surat itu turut menyatakan pesawat malang tersebut tidak dilengkapi dengan sebarang perakam data penerbangan selain dua paparan penerbangan utama di kabin depan dan belakang pesawat. – airtimes.my
#AirTimes #Semasa #CAAM